PH tidak tergugat BN berpakat dengan PN, sudah jangka – DAP

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menjangkakan segala kemungkinan strategi politik pihak lawan termasuk sebarang kerjasama membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, berdasarkan perkembangan politik yang berlaku sebelum ini, termasuk pada PRN Johor, PH tidak akan tergugat dengan sebarang percaturan pihak lawan, sebaliknya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kekuatan jentera sendiri.

Beliau berkata, keutamaan PH ketika ini ialah memperkukuh kesepakatan dalam kalangan parti komponen bagi memenangi kerusi yang ditandingi.

“Ini (strategi PN dan BN) sudah pun dijangka dan jelas… itu adalah pilihan mereka. Jadi, PH akan fokus kepada kekuatan kita sendiri untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

“Apa yang penting ialah kekuatan dan kesepakatan dalam kalangan komponen PH sendiri untuk menghadapi pilihan raya.

“Apa sahaja cabaran dan persaingan, saya rasa akhirnya ia adalah pilihan rakyat,” katanya menurut Harian Metro di Negeri Sembilan pada Khamis.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama BN dan Pas berhubung strategi pengagihan kerusi serta rundingan kawasan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Mengulas persaingan yang dijangka sengit, termasuk dakwaan berhubung kemungkinan peralihan sokongan pengundi Cina kepada parti lawan seperti MCA, Loke berkata, perkara itu terserah kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat pilihan.

“Kita (PH) juga akan memberikan saingan yang sengit. Saya rasa tidak perlu mengulas terlalu banyak kerana sebelum pilihan raya semua pihak boleh mendakwa mereka mendapat sokongan. Yang penting ialah keputusan pada hari pengundian nanti,” katanya.

Loke, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah berkata, prestasi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 menjadi sandaran utama PH untuk terus meraih keyakinan rakyat.

Sementara itu, mengulas kemelut politik di Melaka susulan tindakan DAP Melaka menarik diri daripada pentadbiran negeri berhubung isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, beliau berkata, keputusan itu adalah muktamad.

“Kita telah pun menyatakan pendirian semalam dan menghormati keputusan yang diambil oleh DAP Melaka.

“Kerajaan negeri juga telah membuat pelarasan semula kedudukan kerusi di dalam DUN, jadi perkara itu sudah menjadi kenyataan dan muktamad,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat