KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan meneliti keperluan mengadakan prosiding berhubung isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula eFishery yang dikaitkan dengan dakwaan penipuan terancang sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM200 juta.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu bagaimanapun belum termasuk dalam perancangan prosiding PAC ketika ini kerana jawatankuasa berkenaan masih memberi tumpuan kepada beberapa prosiding yang sedang berjalan dan menunggu untuk diselesaikan.
Beliau berkata, keputusan sama ada PAC akan mengadakan prosiding berhubung isu berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa sebelum sebarang ketetapan dibuat.
“Berhubung perkara itu, ia tidak ada dalam perancangan prosiding. Mungkin kita boleh bincang untuk melihat sama ada PAC perlu ataupun tidak masuk dalam (prosiding akan datang).
“Buat masa ini kita memang dah ada prosiding yang sedang menunggu untuk kami selesaikan dan mungkin perkara itu boleh kita bincangkan untuk kita putuskan,” katanya pada sidang media di Parlimen, lapor BH pada Khamis.
Terdahulu media melaporkan pelaburan dalam sebuah syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery adalah satu penipuan terancang dan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan terhadap KWAP.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata keputusan pelaburan eFishery dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata, pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.
KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat eFishery pada Julai 2023.
Syarikat pemula niaga itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.
Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.


