KUALA LUMPUR – Majlis Peguam memfailkan permohonan penzahiran minit-minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dari 2023 hingga sekarang.
Peguam, Christopher Leong yang mewakili badan itu berkata, permohonan dibuat ekoran terdapat pertikaian fakta dalam prosiding yang sedang berlangsung.
Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh telah menetapkan 11 September ini untuk mendengar permohonan penzahiran dokumen itu.
Permohonan dibuat dalam saman pemula oleh seorang peguam, Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim yang mendakwa penubuhan JAC yang mencadangkan pelantikan hakim ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah melanggar doktrin pengasingan kuasa serta doktrin struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Peguam merupakan pencelah dalam saman pemula tersebut, lapor Utusan pada Rabu.
Terdahulu, peguam Simrenjeet Singh dan Danial Annamalai yang mewakili Syed Amir Syakib memohon mahkamah mendengar permohonan anak guam mereka yang ingin merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Ini kerana Syed Amir Syakib secara peribadi terkesan memandangkan beliau pernah memohon untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
Sebelum ini, Syed Amir Syakib telah mengemukakan 16 persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi yang merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Soalan-soalan itu memberi tumpuan sama ada JAC yang ditubuhkan pada 2009 telah mengambil alih kuasa eksekutif dalam pelantikan hakim.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi memaklumkan bahawa pihaknya akan membantah permohonan penzahiran dokumen berkaitan minit mesyuarat JAC.
Menurut permohonan yang difailkan oleh Setiausaha Majlis Peguam, Murshidah Mustafa pada 7 Julai lalu, dokumen-dokumen tersebut diperlukan bagi menunjukkan cara sebenar JAC melaksanakan tugas dan kuasa statutori mereka di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Permohonan penzahiran dokumen ini seharusnya didengar sebelum pendengaran substantif saman pemula dan permohonan Seksyen 84. Dokumen-dokumen akan membantu Mahkamah dalam membuat pertimbangan. Dokumen-dokumen adalah perlu bagi pelupusan yang adil terhadap perkara ini dan untuk menjimatkan kos.
“Dokumen-dokumen berpotensi boleh memberikan jawapan yang lengkap untuk isu-isu yang dibangkitkan oleh plaintif dan juga berpotensi untuk menyelesaikan isu-isu yang dipertikaikan dalam prosiding ini secara muktamad, sekali gus menjimatkan masa mahkamah,” kata Murshidah dalam afidavit sokongan.
Syed Amir Syakib dalam saman pemula memohon perisytiharan bahawa kuasa-kuasa yang diberikan kepada JAC adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 122B yang memperuntukkan proses pelantikan hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Beliau mendakwa bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 mencampuri proses perlembagaan dan kebebasan badan kehakiman dengan membenarkan Perdana Menteri dan pegawai kerajaan mempengaruhi pelantikan hakim, yang bertentangan dengan piawaian antarabangsa bagi sebuah badan kehakiman yang bebas.
Syed Amir Syakib turut memohon satu perintah untuk memaksa Perdana Menteri dan kerajaan supaya mematuhi proses pelantikan kehakiman yang sewajarnya tanpa campur tangan JAC.



