Perutusan Menteri Kanan Pendidikan Sempena Hari Guru 2022

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Radzi Jidin. Foto: Facebook

Selamat meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang ke-51 pada 16 Mei 2022. Sambutan saban tahun ini merupakan acara simbolik bagi menghargai jasa dan pengorbanan insan mulia yang bergelar guru.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi.

Pemilihan tema Hari Guru 2022, iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’ sangat bertepatan bagi menghargai peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, malah berusaha memastikan murid mempunyai sahsiah yang baik serta daya saing yang tinggi.

Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah.

Penerapan elemen SEJAHTERA yang dilaksanakan oleh guru dapat disampaikan melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah secara langsung atau tidak langsung.

Terdapat 14 elemen SEJAHTERA iaitu:

i) Selamat
Persekitaran sekolah yang aman dan tenteram serta terpelihara daripada
ancaman dan bahaya;

ii) Seronok

Suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang menggembirakan;

iii) Sihat
Penjagaan kesihatan fizikal dan mental khususnya dalam aspek pemakanan serta kebersihan diri dan persekitaran;

iv) Etika

Pegangan yang teguh kepada nilai-nilai akhlak dan prinsip moral khususnya dalam aspek integriti;

v) Empati

Keupayaan untuk menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain dengan meletakkan diri pada tempat mereka;

vi) Jati Diri
Prinsip serta pegangan yang membentuk identiti dan karakter diri dalam mencorak keperibadian unggul;

vii) Adab Sopan
Amalan tingkah laku yang memberi penekanan kepada akhlak, budi bahasa, pertuturan dan kelakuan baik;

viii) Harmoni
Suasana persekitaran yang aman dan penuh toleransi serta berteraskan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang;

ix) Tekun
Rajin dan bersungguh-sungguh dengan penuh tumpuan serta daya usaha dalam mendalami ilmu dan melaksanakan tanggungjawab;

x) Teliti
Cermat dan hemat dengan penuh analitis dalam melaksanakan tanggungjawab;

xi) Terampil
Kecekapan dan kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab;

xii) Eksplorasi
Rasa kecintaan untuk meneroka ilmu yang bermanfaat dan terus berusaha meningkatkan kefahaman serta menguasai ilmu berkenaan

xiii) Rasional
Kemampuan membuat pertimbangan dan keputusan berdasarkan fakta dan maklumat serta tidak dipengaruhi oleh emosi dan prasangka; dan

xiv) Artikulasi
Keupayaan untuk mengolah serta menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian tentang sesuatu perkara dengan jelas dan teratur berdasarkan fakta.

Guru-guru, para pendidik dan warga sekolah sekalian,

Dalam menjayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA ini, peranan guru bukan hanya tertumpu menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi guru juga membimbing murid untuk membentuk keperibadian unggul. Saya yakin dan percaya, generasi yang dilahirkan oleh guru-guru ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki nilaisahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Jasa bakti guru amat disanjung tinggi.

Guru merupakan seorang ikon penting yang diamanahkan untuk mendidik, mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid yang berkeperibadian unggul.

Melalui penghayatan tema Hari Guru pada tahun ini, diharapkan para guru dan pendidik sekalian terus meningkatkan usaha untuk membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.

Penerapan elemen SEJAHTERA secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya akan diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya.

Akhir kata, semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara.

Ayuh, laksanakan amanah ini dengan jujur, ikhlas dan berintegriti.

SELAMAT HARI GURU, TERIMA KASIH CIKGU.