Pemilihan tema Hari Guru 2022, iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’ sangat bertepatan bagi menghargai peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, malah berusaha memastikan murid mempunyai sahsiah yang baik serta daya saing yang tinggi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pemilihan ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’ sebagai tema Sambutan Hari Guru tahun ini bertepatan dalam menghargai peranan guru secara menyeluruh.

Katanya, tema ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah.

“Penerapan elemen SEJAHTERA yang dilaksanakan oleh guru dapat disampaikan melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah secara langsung atau tidak langsung.

YB Datuk Dr Radzi Jidin Menteri Kanan Pendidikan Bersama penerima anguerah semasa Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan pada 15 Mei 2022

“Terdapat 14 elemen SEJAHTERA diterapkan iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jatidiri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi.

“Selamat menekankan persekitaran sekolah yang aman dan tenteram serta terpelihara daripada ancaman dan bahaya. Seronok pula mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang menggembirakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51, hari ini.

HARI GURU DISAMBUT 16 MEI SETIAP TAHUN

SEJAHTERA merangkumi 14 elemen iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jatidiri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi.

Katanya, dalam menjayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA ini, peranan guru bukan hanya tertumpu menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi guru juga membimbing murid untuk membentuk keperibadian unggul.

“Saya yakin dan percaya, generasi yang dilahirkan oleh guru-guru ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

“Jasa bakti guru amat disanjung tinggi.
Guru merupakan seorang ikon penting yang diamanahkan untuk mendidik, mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid yang berkeperibadian unggul.

“Melalui penghayatan tema Hari Guru pada tahun ini, diharapkan para guru dan pendidik sekalian terus meningkatkan usaha untuk membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi,”katanya.

Radzi berkata, penerapan elemen SEJAHTERA secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya akan diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi,” katanya.

Radzi turut meminta guru terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara.