KALABAKAN — Pertembungan di DUN Merotai (N72) rasmi menjadi saingan empat penjuru selepas proses penamaan calon PRN Sabah 2025 ditutup jam 12 tengah hari tadi. Seramai 26,179 pengundi berdaftar bakal menentukan arah sokongan dalam kerusi strategik di Parlimen Kalabakan itu.
Calon Pakatan Harapan–Parti Keadilan Rakyat (PH–PKR), Datuk Ruji Ubi, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, berdepan tiga pencabar lain: Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Hasan Haris daripada Perikatan Nasional (PN), dan Rhyme @ Reymie Kassim daripada Parti Impian Sabah (PIS).
Dalam PRN 2020 lalu, Sarifuddin mempertahankan kerusi Merotai dengan meraih 4,058 undi, menewaskan calon PN Mohamad Jalani Chachu yang mendapat 2,471 undi serta bekas Adun Merotai, Tan Sri Liew Yun Fah, yang bertanding atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah dan memperoleh 1,779 undi. Tiga lagi calon pada ketika itu ialah Abdullah Palile daripada PCS dengan 86 undi, Hafeezatul Halimah Mohamad daripada USNO dengan 60 undi, dan Shim Nyat Yun daripada LDP yang mendapat 30 undi.
Pada PRN kali ini, Ruji dijangka mendapat sokongan penuh daripada dua rakan strategik PH iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memilih untuk tidak meletakkan calon di Merotai. Dua tokoh GRS yang cukup berpengaruh di Kalabakan, Jalani dan Tan Sri Liew, turut hadir meraikan Ruji semasa proses penamaan calon pagi tadi.
Jalani sejak beberapa minggu lalu sudah menyatakan sokongan terbuka kepada Ruji dan PH, manakala kehadiran Tan Sri Liew bersama penyokong setempat menguatkan lagi gambaran bahawa arus sokongan terhadap Ruji semakin berkembang.
Proses penamaan calon berjalan lancar di Merotai dan seluruh kawasan Parlimen Kalabakan tanpa insiden besar dilaporkan.
Dengan persaingan empat penjuru dan perubahan sokongan daripada tokoh-tokoh tempatan, kerusi Merotai dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam PRN Sabah 2025.-SUARA.TV



