BONGAWAN, – Ridzuan Firdaus Yusof, 35, secara rasmi mengesahkan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila melalui proses penamaan calon sebagai wakil Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN N.30 Bongawan. Beliau muncul sebagai calon paling muda dalam persaingan sembilan penjuru di kawasan tersebut.
Ridzuan, yang turut memegang jawatan EXCO ARMADA BERSATU Malaysia, hadir ke pusat penamaan calon dengan sokongan pimpinan tertinggi parti. Turut mengiringi beliau ialah Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, serta Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia merangkap Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau, Harris Idaham Rashid.
Mengangkat slogan “ERA BARU BONGAWAN”, Ridzuan yang mendapat nombor undi tujuh dalam kertas undi menegaskan bahawa tema tersebut dipilih kerana rakyat Bongawan sudah terlalu lama berdepan isu asas seperti infrastruktur, jalan raya dan kemudahan komuniti, walaupun sering ditawarkan pemimpin kitar semula pada setiap musim pilihan raya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pengundi Bongawan diberikan pilihan kepimpinan baharu yang bukan sahaja lebih segar, tetapi mampu memahami realiti kehidupan rakyat terutama generasi muda.
PRN kali ini juga mencatat sejarah sebagai pilihan raya pertama yang melibatkan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun. Dengan peratusan pengundi muda yang tinggi di Bongawan, Ridzuan dilihat mempunyai kelebihan tersendiri kerana menjadi satu-satunya calon muda dalam pertandingan tersebut.
Kempen Ridzuan dijangka menumpukan isu-isu pembangunan asas, peluang ekonomi dan penyertaan belia bagi membawa perubahan yang lebih mampan kepada masyarakat Bongawan selaras dengan semangat “ERA BARU BONGAWAN”.



