KOTA KINABALU — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan wujud pakatan sulit antara BN dan Warisan yang didakwa digelar sebagai ‘Langkah Kinabalu 2.0’.
Zahid menegaskan beliau tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan rasmi dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, berhubung kerjasama politik seperti yang digembar-gemburkan.
“Tidak ada apa-apa ‘secret pact’. Saya tidak pernah berbincang dengan Shafie mengenai perkara itu. Kalau ada pakatan seperti didakwa, kita tentu tidak akan bertembung di kerusi yang sama,” katanya ketika sesi libat urus bersama media di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui rundingan antara parti merupakan keperluan sekiranya keputusan PRN menghasilkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
“Kita tidak menolak kemungkinan perbincangan selepas keputusan diumumkan. Realitinya, tiada satu parti atau gabungan mampu membentuk kerajaan sendirian,” katanya.
Spekulasi mengenai ‘Langkah Kinabalu 2.0’ kembali mencuri perhatian selepas sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan dakwaan kononnya terdapat pertemuan sulit antara Zahid dan Shafie yang dikatakan membincangkan kerjasama pasca pilihan raya.



