Ringgit jatuh 7.8 peratus dari 1 Oktober hingga 13 November, BNM beritahu puncanya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ringgit menyusut nilai sebanyak 7.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari 1 Oktober hingga 13 November tahun ini berikutan pengukuhan mata wang negara maju itu, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, penyusutan nilai ringgit itu terutamanya didorong oleh pengukuhan dolar AS dalam tempoh yang sama di tengah-tengah jangkaan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil berikutan data ekonomi AS yang kukuh.

Namun, ia berkata, pada suku ketiga 2024, ringgit meningkat sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar AS, manakala kadar pertukaran efektif nominal (NEER) juga meningkat 9.9 peratus.

“Peningkatan ini sebahagiannya didorong oleh peralihan dasar monetari yang lebih longgar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), yang telah mengurangkan tekanan ke atas mata wang serantau, termasuk ringgit.

“Secara asas tahun ke tahun (setakat 13 November), ringgit meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar AS,” katanya.

Melangkah ke hadapan, BNM berkata, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh perkembangan luar.

“Bagaimanapun, prospek makroekonomi Malaysia yang baik dan pembaharuan struktur yang berterusan akan menyokong ringgit dalam jangka sederhana.

“BNM akan terus memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri berfungsi dengan teratur,” lapor BH pada Jumaat.

Sementara itu, pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku ketiga 2024, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata prestasi ringgit pada suku ketiga 2024 didorong terutamanya oleh perubahan pendirian Fed AS ke arah pelonggaran dasar monetari, termasuk pemotongan kadar dana persekutuan (FFR) sebanyak 75 mata asas secara kumulatif pada September dan November.

Beliau berkata, peserta pasaran kewangan juga menjangkakan pengurangan kadar selanjutnya oleh Fed pada 2025.

Katanya, di peringkat domestik, keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan Malaysia diperkukuh oleh pelaksanaan reformasi struktur kerajaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, sepanjang suku ketiga 2024, prestasi ringgit turut disokong oleh usaha bersepadu yang berterusan daripada kerajaan dan BNM.

Beliau berkata, ia termasuk program perintis QRI (Pelabur Residen Berkelayakan) yang memberikan fleksibiliti pertukaran asing untuk menggalakkan syarikat residen membawa pulang dana dalam mata wang asing dan menukarnya kepada ringgit.

Katanya, memandangkan maklum balas positif yang diterima mengenai program QRI, program perintis itu akan diperluas lagi untuk menerima permohonan daripada syarikat residen yang layak yang mempunyai aset pelaburan langsung di luar negara sebanyak RM500 juta dan ke atas (sebelum ini RM1 bilion), dengan tarikh akhir pendaftaran dilanjutkan sehingga 30 Jun 2025.

“Maklumat tambahan mengenai program ini seperti kriteria kelayakan, borang permohonan dan maklumat operasi lain boleh didapati di laman web BNM,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat