Usul Undi Tidak Percaya Bukan Unik Dalam Sistem Negara – Azhar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang diamalkan negara.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan di Malaysia yang mana sesuatu usul undi tidak percaya tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri.

Bagaimanapun, Azhar menekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada beliau atau pun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan dikendalikannya mengikut undang-undang sedia ada.

“Saya merujuk kepada surat Yang Berhormat Mulia (YBM) Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah bertarikh 25 Sept 2020 kepada saya dan surat jawapan daripada saya bertarikh 29 Sept 2020 kepada YBM Tengku Razaleigh.

“Saya difahamkan bahawa surat-surat itu telah diedarkan oleh pejabat YBM Tengku Razaleigh dan telah menjadi pengetahuan umum.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepada saya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang YBM fikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan,” katanya.

Menurut Azhar, beliau telah menjawab kemusykilan Tengku Razaleigh secara bertulis dalam surat jawapannya dan turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu atas kesudian memberi peluang kepadanya untuk menerangkan kedudukan perkara berkenaan secara lisan.

Terdahulu, Tengku Razaleigh meminta usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual bermula 2 Nov ini.

Gesaan itu dibuat menerusi surat yang dihantar kepada Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat pada 25 Sept lalu, yang dikongsi kepada media hari ini.

Tengku Razaleigh berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Surat Tengku Razaleigh itu merujuk usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu dan dibawa pada persidangan Julai.

Pendedahan itu turut menyertakan surat jawapan Azhar yang antara lain menyatakan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan Usul Tidak Percaya dibahaskan adalah tidak benar dan menjelaskan susunan Aturan Urusan Mesyuarat lepas dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat