Ulama Terkenal Kedah Meninggal Dunia

- Advertisement -

ALOR SETAR – Ulama terkenal Kedah Datuk Ahmad Muhammad Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang (HKN) di Padang Terap, tengah malam tadi.

Berita itu dimaklumkan oleh cucu Allahyarham, Mariam Abdul Ghani menerusi satu hantaran di Facebook, yang mengesahkan arwah meninggal dunia pada usia 96 tahun di sisi doktor yang merawatnya pada 12.57 tengah malam.

“Tok Ayah saya, Tuan Guru Haji Ahmad (Pak Teh Mad) menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.57 tengah malam (15 September) di Hospital Kuala Nerang di sisi Dr. Bukhari yang merawat serta mengajar kalimah shahadah (kepada arwah),” katanya.

Menurut cucunya itu, arwah dimasukkan ke HKN pada 10 September lepas setelah beberapa hari kesihatannya merosot dan mengalami kekurangan oksigen, namun pada waktu itu keadaan arwah stabil dan berada dalam pemantauan penuh pihak hospital.

Difahamkan, jenazah pengasas Pondok Ahmadiah di Kuala Nerang itu selamat dikebumikan lebih kurang 11.45 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, Padang Terap dan diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak hospital.

Kematian Allahyarham Pak Teh Mad mendapat perhatian dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Imam Besar Masjid Zahir Negeri Kedah, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim yang menyifatkan pemergiannya sebagai khabar duka dari bumi Darul Aman.

Sementara itu, pihak Pondok Ahmadiah menerusi hantaran di laman Facebook mereka meminta orang ramai agar tidak hadir untuk sebarang ziarah ke pondok berkenaan buat masa ini, dan menyarankan solat jenazah secara ghaib dilakukan di tempat masing-masing.

Menurut laman sosial itu juga, kawasan pondok telah diwartakan oleh pihak Kementerian Kesihatan sebagai kawasan penularan COVID-19 dan setakat semalam sebanyak 51 penghuni telah menjalani saringan dan tujuh daripadanya telah disahkan positif wabak itu.

Pak Teh Mad yang dilahirkan pada 14 Mac 1925 di Kampung Bukit Sebelah, Padang Gelanggang, Padang Terap mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Terap sebelum meneruskan pengajian di Madrasah Sa’adah Ad-Daroin di Merbok, diikuti Pondok Gajah Mati, Pendang sebelum ke Mekah dengan memasuki Madrasah al-Salutiyah.

Pak Teh Mad kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah pondok di Padang Terap pada 1961 dan Pondok Ahmadiah yang diasaskan Allahyarham merupakan antara pusat pengajian agama tersohor di Kedah. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat