PM beritahu kerajaan giat draf RUU 355 sebelum dibentang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang mempergiat usaha mendraf Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

Kata beliau, setelah RUU 355 dimuktamadkan kelak, rang undang-undang tersebut akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.

“Sepanjang tahun 2020 dan 2021 Kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil (Jawatankuasa Teknikal) yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355 dengan melihat dari pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum Syarak agar RUU 355 tersebut lebih komprehensif dan seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah,”katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen Malaysia.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan strategik bagi memperkasakan mahkamah syariah menerusi pindaan Akta 355 bagi tahun ini.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk memperkasa dan menaikkan kedudukan mahkamah syariah agar setanding dengan mahkamah sivil.

“Aspek pemerkasaan mahkamah syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang Syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang Syariah.

“Antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf mahkamah Syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan suatu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022 (RUU Mahkamah),”katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat