Walaupun MPN ciplak idea Tun M, kita tak halang demi kebaikan rakyat – Mukhriz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerajaan hari ini kerana didakwa telah menciplak idea pelan pemulihan negara yang diilhamkan oleh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad malah tidak mengotakan janji untuk melantik bekas Perdana Menteri itu untuk mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Mukhriz menjelaskan, penubuhan MPN sebenarnya telah dicadangkan oleh Dr Mahathir sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum kerajaan bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan mahu melaksanakan pelan pemulihan negara.

“Kita anggap itu (pengumuman kerajaan Muhyiddin) mungkin sebagai idea ciplak daripada Dr Mahathir, namun asalkan dapat membantu rakyat, kita tiada menghalang.

“Kemudian Menteri Kewangan setelah berjumpa dengan Dr Mahathir, dan mengumumkan penubuhan MPN tetapi melantik pula Muhyiddin sebagai pengerusinya. Perkara itu terbawa-bawa sehingga kerajaan dipimpin Ismail Sabri Yaakob dan sekali lagi kita dikejutkan apabila Muhyiddin dilantik sebagai  pengerusi MPN bertaraf menteri.

“Beliau tidak mampu lakukan sewaktu memegang jawatan tertinggi negara dengan kuasa darurat, kenapa sekarang ini boleh?,”katanya di Parlimen pada Rabu.

Justeru, Mukhriz mencadangkan pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi MPN mengambil kira kepentingan politik yang bakal diketepikan.

Bahkan beliau mendakwa, tawaran sebagai pengerusi MPN itu sebenarnya dibuat oleh Ismail sewaktu belum dilantik sebagai perdana menteri.

“Beliau (Dr Mahathir) pun umumkan akan letak jawatan sebagai pengerusi Pejuang sekiranya dilantik sebagai pengerusi MPN.

“Saya dimaklumkan apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjumpa Dr Mahathir sebelum dilantik sebagai perdana menteri, beliau menjanjikan penubuhan MPN dan akan melantik Dr Mahathir sebagai pengerusi.

“Malangnya janji tak dikota. Tapi saya rasa ini masih lagi perkara yang serius untuk tangani apa yang kita hadapi,”katanya.

Selain itu, Mukhriz menegaskan kerajaan perlu menggunakan 100 peratus cetusan idea pakar-pakar daripada pelbagai bidang untuk menggerakkan MPN kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.

Beliau berkata, keanggotaan MPN ketika ini hanya melibatkan 50 peratus tenaga pakar dan selebihnya dianggotai oleh ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, ia tidak selari dengan idea awal yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi meskipun idea penubuhan MPN itu dianggap telah diciplak oleh kerajaan.

“Kita mahu gunakan idea-idea, cetusan pemikiran daripada pakar-pakar dalam bidang-bidang yang releven untuk cadangkan pendekatan terbaik untuk menyelamatkan negara ketika ini.

“Sebaliknya kita dapati, apa yang dicadangkan adalah hanya 50 peratus anggota MPN ini terdiri daripada pakar, 25 peratus ahli politik daripada kerajaan dan 25 peratus lagi ahli parlimen pembangkang.

“Saya bukan mahu persoalkan keupayaan ahli-ahli politik ini untuk menyumbang idea tetapi ini telah dibuat pun sebelum ini dan tidak berjaya.

“Maka saya rasa paling penting sekarang ini kita serahkan bulat-bulat kepada orang yang pakar dalam bidang untuk mencadangkan kepada kerajaan apa yang terbaik untuk kita tangani krisis berlipat ganda sekarang ini,”katanya ketika membahaskan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat