‘Saya Memang Sokong PM Muhyiddin Dan PN’ Ada Apa Masalah? Soal Tajuddin

- Advertisement -

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman meramalkan usaha parti itu untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan menemui “jalan buntu” kerana semua Ahli Parlimen termasuk Jemaah Menteri dari Umno sepakat menyokong Presiden Bersatu itu.

Memetik Free Malaysia Today (FMT), beliau berkata, sokongan wakil rakyat Umno terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dilihat sebagai satu kesalahan atau melanggar keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu yang tidak pernah menyebut untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin.

“Saya sokong Timbalan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), sokong Perdana Menteri, sokong kerajaan. Ada apa masalah? Saya memang sokong.

“Sebab kita dah buat keputusan, semua patuh pada keputusan PAU, Umno kata kita kekal bersama kerajaan PN sehingga pilihan raya akan datang. Selagi belum PRU, kita sokonglah,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, pada Selasa, Tajuddin dipecat sebagai sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia berkuatkuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan media, Presiden UMNO melantik Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan menggantikan Ahli Parlimen Salak tersebut.

Pemecatan Tajuddin dipercayai akibat beberapa kenyataan yang dilihat menentang usaha menjatuhkan kerajaan pada masa sekarang. Rakaman ucapan Tajuddin dalam Mesyuarat MT UMNO yang mendedahkan usaha kerjasama dengan Anwar Ibrahim turut memberi kesan buruk kepada Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, parti juga sudah memberi kebebasan kepada Ahli Parlimen Umno untuk menggunakan budi bicara apabila berlaku pengundian di Dewan Rakyat.

“Tidak ada kesalahan yang mereka lakukan. MKT juga beri mereka (Ahli Parlimen Umno) kebebasan untuk buat keputusan sama ada menyokong atau tidak buat masa ini. Jadi apa masalahnya?,” soal Tajuddin yang juga tidak menolak kemungkinan berlakunya “keajaiban” pada masa depan.

Beliau mengulas kenyataan bersama Jemaah Menteri yang sebulat suara kekal menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin di sebalik tindakan Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Tajuddin juga mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya melupakan “hasrat” untuk terus mendesak Muhyiddin berundur kerana waktu “itu” akan tiba akhirnya.

“Dia nak ugut? Apa nak ugut? Bagi saya tak perlu nak ugut, kita ikut sajalah keputusan parti. Sampai masa baru kita buat keputusan nak tarik (sokongan), sampai dah ada PRU, Parlimen dah dibubarkan,” katanya.

Umno ketika ini mempunyai 38 Ahli Parlimen dengan 16 daripadanya menyandang jawatan menteri atau timbalan menteri.

Bakinya seramai 21 adalah Ahli Parlimen biasa, manakala seorang lagi menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Umno memutuskan untuk menamatkan sokongannya kepada Muhyiddin dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera atas tujuh “kegagalan” termasuk pengurusan lemah kerajaan pimpinannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Keputusan MKT Umno itu, yang diumumkan presiden parti, setakat ini tidak memberi kesan kepada kedudukan anggota Jemaah Menteri parti itu, termasuk Ismail Sabri yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri minggu lalu.

Polemik mengenai sokongan Umno kepada Muhyiddin mencetuskan perbalahan dalaman parti itu dengan beberapa pemimpin lantang menolak keputusan MKT.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat