e-Pemula: RM300 Juta Diperuntukkan Untuk Belia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan hari ini melancarkan program ePemula di bawah Bajet 2022 salah satu insentif untuk golongan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini dan dijangka memanfaatkan seramai 2 juta orang belia seluruh negara.

“Tujuan utama program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan saudara-saudari Keluarga Malaysia,” katanya di Cyberjaya pada Jumaat.

Ismail Sabri memaklumkn proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit ini telah pun dibuka beberapa hari lalu, iaitu pada 11 April.

“Belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam e- dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet.

“Saya difahamkan keempat-empat penyedia e-dompet ini juga memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, mata terkumpul, diskaun dan banyak lagi manfaat menarik sepanjang tempoh program ini,” ujarnya.

Kerajaan berharap melalui ePemula, golongan belia yang layak akan berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 tersebut untuk menyokong perniagaan para pengusaha tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara offline agar mereka dapat pulih sepenuhnya, kata Perdana Menteri.

“Sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat, terutamanya golongan B40, yang boleh dibantu.

“Secara keseluruhan, Kerajaan yakin bahawa program seperti ePemula ini akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan,” katanya.

Ismail Sabri menyebut, peranan belia amat penting kepada negara. Jatuh bangunnya negara ini terletak pada tangan-tangan anak muda.

“Sehubungan itu, semua dasar Kerajaan turut mengambil kira pembangunan belia yang bakal menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan.

“Belia perlu diberi peluang untuk sama-sama mencorak masa depan Malaysia.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara,” jelasnya.

Buat masa ini kata Perdana Menteri, melalui Bajet 2022, secara keseluruhan, sekurang-kurangnya RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan golongan belia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat