Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperkenalkan Smart PraTahfiz@KEMAS, satu inisiatif pendidikan terkehadapan yang menggabungkan pendidikan awal Islamik dengan teknologi digital.
Program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi, malah turut menekankan penguasaan bacaan dan hafazan surah-surah lazim yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS berumur lima hingga enam tahun.
KEMAS dalam kenyataan berkata pelan pelaksanaannya dirangka secara berfasa bagi tempoh dua tahun bagi memastikan impak yang maksimum dan mampan.
“Bagi fasa permulaan tahun 2026, Smart PraTahfiz@KEMAS akan dilaksanakan secara rintis di 14 buah Tabika KEMAS terpilih melibatkan 280 orang kanak-kanak, sebelum diperluaskan ke 132 buah Tabika KEMAS pada tahun 2027.
“KEMAS memulakan sesi persekolahan tahun 2026 dengan langkah strategik memperkasakan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak menerusi transformasi digital dalam pendidikan Islamik serta peluasan akses pendidikan inklusif bagi golongan berkeperluan khas.
“Inisiatif serampang dua mata ini digerakkan bagi menyahut aspirasi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mahukan KEMAS melahirkan generasi pelapis negara yang bukan sahaja seimbang dari segi sahsiah dan kerohanian, malah celik teknologi sejak usia awal,”kata kenyataan itu.
Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9.896 juta pada 2025 bagi menjayakan Program Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK) KEMAS, selaras dengan Pelan Transformasi Digital PAK KEMAS 2023–2032.
“Di bawah inisiatif ini, KEMAS telah mengagihkan 1,100 unit komputer riba bernilai RM6.8 juta ke Tabika KEMAS di seluruh negara, termasuk agihan tertinggi ke Sarawak sebanyak 180 unit, bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi serta meningkatkan kecekapan pengurusan dan kualiti perkhidmatan pendidikan awal KEMAS, ”katanya.
“KEMAS turut memperkukuh teras pendidikan Islamik menerusi Perluasan Program Pra Tahfiz KEMAS yang kini dilaksanakan di 9,729 buah kelas TABIKA KEMAS di seluruh negara.
“Program berskala besar ini mensasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus (%) murid dapat menguasai kemahiran asas hafazan al-Quran sebagai asas pembentukan sahsiah terpuji dan kekuatan rohani kanak-kanak seawal usia muda, selari dengan hasrat melahirkan generasi huffaz masa hadapan,”katanya lagi.
“Namun, di sebalik keghairahan memacu transformasi digital dan pemantapan rohani, KEMAS tidak pernah meminggirkan sisi kemanusiaan dalam pendidikan awal.
“Menyedari bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang pendidikan yang adil, KEMAS terus menyantuni keperluan ibu bapa yang memiliki anak-anak berkeperluan khas agar mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan perdana. Menterjemahkan komitmen tersebut, aspek inklusiviti diperkasa menerusi perluasan TABIKA Tunas Istimewa (Autisme),”ujarnya.
“Sehingga Januari 2026, seramai 154 orang kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun yang telah melepasi saringan khas kini mengikuti pembelajaran di 19 buah kelas TABIKA Tunas Istimewa di seluruh negara.
“Peningkatan ketara berbanding hanya tiga kelas rintis sebelum ini mencerminkan keprihatinan KEMAS dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan penuh empati, khususnya bagi keluarga di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan akses kepada pendidikan dan terapi khas.
“Bagi melengkapkan ekosistem sokongan kepada ibu bapa bekerja, KEMAS turut melaksanakan projek rintis pengoperasian 232 buah Tabika KEMAS sehingga jam 4.30 petang bermula tahun 2026,”ujarnya lagi.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban ibu bapa, di samping memastikan kanak-kanak terus berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, terancang dan berfaedah dengan pengisian aktiviti kokurikulum, pengayaan pembelajaran serta aktiviti Pra Tahfiz.
Tambahnya, kesemua inisiatif ini dilaksanakan seiring dengan pemakaian Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) 2026, sekali gus meletakkan KEMAS di landasan tepat sebagai peneraju pendidikan awal kanak-kanak yang holistik, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan modal insan negara.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah KEMAS , Datuk Mohd Hanafiah Man telah menyempurnakan Program Perluasan Tabika Tunas Istimewa (Autisme) dan Smart Pra Tahfiz 2026 di TABIKA KEMAS Komta, Bandar Seri Putra, Kajang pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah KEMAS Selangor, Noor Azman Ab Rahman. – SUARA.TV



