UMNO bukan gila kuasa, jadi ‘sauh’ elak negara karam – Tok Mat

KUALA LUMPUR, — Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menegaskan keputusan UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan bukan didorong keghairahan kuasa, sebaliknya lahir daripada tanggungjawab kenegaraan ketika negara berdepan keadaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 yang genting dan tidak menentu.

Berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, PWTC malam ini, Mohamad berkata UMNO sebenarnya telah bersedia untuk menjadi pembangkang selepas PRU15 dan menerima hukuman rakyat dengan hati terbuka bagi memberi ruang kepada parti membina semula kekuatan dari bawah.

Namun menurut beliau, situasi ketika itu menyaksikan negara berada dalam keadaan “tergantung” apabila parlimen tergantung, politik di ambang huru-hara dan risiko terhadap kestabilan ekonomi rakyat semakin ketara.

Mohamad berkata pada saat kritikal itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memanggil UMNO untuk membantu menubuhkan kerajaan demi menyelamatkan negara, walaupun parti hanya memiliki jumlah kerusi yang terhad.

Beliau menegaskan UMNO masuk kabinet bukan sebagai penumpang, tetapi sebagai “sauh” yang memastikan kapal negara tidak karam dalam keadaan dunia bergolak dan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi.

Menurut Mohamad, menguruskan negara bukan soal mengikut emosi atau sentimen jangka pendek, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan membaca keperluan semasa dan bertindak sebagai kuasa pertengahan serta pengimbang yang bertanggungjawab.

Beliau turut menolak cadangan supaya UMNO keluar kerajaan secara tergesa-gesa, dengan menyifatkan langkah sedemikian sebagai tindakan yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan, dan berpotensi mengheret negara ke dalam kekosongan kuasa yang berbahaya.

Mohamad berkata sejarah dunia moden membuktikan kejatuhan kerajaan tanpa pelan penggantian yang jelas sering membawa kepada ketidakstabilan politik, kemerosotan ekonomi dan penderitaan rakyat, justeru UMNO memilih jalan kestabilan demi kepentingan negara.

Beliau menegaskan UMNO tidak pernah dibina untuk sekadar pandai menjatuhkan, sebaliknya memerintah dengan akal, menstabilkan dengan strategi dan membina dengan tanggungjawab, walaupun terpaksa menanggung risiko persepsi politik yang tidak popular.

Dalam masa sama, Mohamad mengingatkan ahli UMNO supaya mengurus kemarahan dengan strategi dan keberanian dengan tanggungjawab, sambil menegaskan peranan parti dalam kerajaan adalah untuk memastikan Malaysia terus stabil bagi generasi hari ini dan generasi masa depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat