Tengku Maimun nafi badan kehakiman ada agenda ‘hapus’ Islam

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Penghakiman dalam kes Iki Putra dan Sisters In Islam (SIS Forum) tidak pernah mempertikaikan kesucian agama Islam sebaliknya hanya memberikan penekanan terhadap had atau batas kuasa antara Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri.

Bagaimanapun, kedua-dua kes itu telah dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memberikan gambaran bahawa Badan Kehakiman mempunyai agenda atau motif untuk menghapuskan Islam di negara ini atau daripada sistem perundangan negara.

“Selain daripada memanipulasi kes-kes ini untuk kepentingan sendiri, mereka juga gagal untuk menyatakan bahawa apabila Perlembagaan Persekutuan diinterpretasi dengan jelas dan kuasa Parlimen serta undang-undang negeri diperhalusi, Mahkamah Persekutuan akan terus memastikan pelaksanaan Undang-Undang Islam di negeri-negeri kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin perkara tersebut dan Parlimen sendiri tidak boleh menghapusnya.

“Malangnya, kedua-dua kes ini telah diperbesarkan oleh pihak tertentu melangkaui fakta sebenarnya. Kes ini tidak mempunyai kaitan dengan fakta berhubung kesucian Islam. Sebaliknya, ia memohon untuk menjelaskan had atau batas kuasa di antara Persekutuan dan Negeri.

“Undang-undang yang dipertikaikan adalah berkait dengan kuasa (undang-undang) Negeri yang tidak disokong oleh Jadual Negeri. Prinsip sama akan turut digunapakai bagi kes-kes lain sekiranya ia membabitkan isu serupa,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

KOMEN

Menurut beliau, terlalu banyak komen yang diberikan berhubung kes Iki Putra dan SIS Forum itu sehingga ada yang mempertikaikan pegangan agama hakim tertentu atau motif mereka membuat penghakiman sedemikian.

“Komen-komen sebegini juga telah menimbulkan kebencian dan rasa tidak senang kalangan orang awam terhadap Badan Kehakiman atau menimbulkan ketakutan atas tanggapan salah yang diberikan berhubung keputusan tersebut. Ada juga gerakan yang telah dimulakan bagi menakut-nakutkan hakim,” kata Tengku Maimun.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya di sini hari ini.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 EJSS Selangor 1995 dan sekali gus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Panel terbabit yang diketuai Hakim Tengku Maimun memutuskan bahawa kuasa untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen dan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang sekali gus menjadikan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagi kes membabitkan SIS Forum, pada 21 Februari 2022, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Ini kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada mahkamah tinggi syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah kemudian mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.- Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat