KPI menteri biarlah PM simpan, tak perlu dedah kepada umum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rekod markah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari Jemaah Menteri dan kementerian dinilai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan (MAMPU) tidak perlu didedahkan kepada umum termasuk Ahli Parlimen,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sebaliknya tegas beliau, nilai markah KPI menteri dan kementerian adalah untuk simpanan rekod ‘guru besar’, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Katanya, penentuan markah tinggi atau rendah bukan ditentukan Perdana Menteri, sebaliknya diukur berdasarkan pencapaian setiap menteri dan kementerian mengikut hala tuju serta sasaran untuk dicapai dalam tempoh 100 hari seperti ditetapkan.

“Dalam menentukan markah tinggi ini, bukan ‘guru besar’ suka-suka bagi markah. Ia ditetapkan mengikut apa yang menteri dan kementerian hendak penuhi dalam 100 hari.

“Markah (KPI) tertinggi dan rendah ini biarlah ‘guru besar’ (Perdana Menteri) yang simpan, tak perlu ‘guru kecil’ dapat tahu. Dia (Ismail Sabri) pun baru jadi guru besar, beri peluang pada dia,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Memetik BH, Dr Abdul Latiff berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Ching (DAP-Rasah) mengenai justifikasi pengesahan pencapaian 90 peratus menteri dan kementerian dalam 100 hari pentadbiran Perdana Menteri.

Perdana Menteri memuktamadkan AKM 100 Hari pada 24 September lalu, yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50 peratus), Penilaian Prestasi Menteri (25 peratus) dan Persepsi Awam (25 peratus) terhadap menteri serta kementerian.

Sebanyak 140 sasaran ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari itu, membabitkan 31 menteri daripada lima kluster iaitu kluster Menteri Kanan, ekonomi, sosial, keselamatan dan infrastruktur.

Dr Abdul Latiff berkata, kerajaan turut bercadang menganjurkan program 100 Hari AKM di setiap negeri mulai Januari ini dan buat permulaan akan diadakan di Pahang dan diikuti ke negeri lain.

“Menerusi pelan jangka panjang, kita bercadang memanjangkan ia (AKM) ke negeri mulai Januari ini, mungkin dimulakan di Pahang.

“Ia akan diadakan pada setiap bulan di setiap negeri dan akhirnya pada Ogos agaknya, jika dewan (Parlimen) tidak dibubarkan, akan ada acara penutup program AKM di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, persoalan menyentuh kepentingan umum termasuk menangani kos sara hidup rakyat pula tidak termasuk dalam KPI 100 hari menteri dan kementerian kerana ia membabitkan pelbagai kementerian.

“Komitmen 100 hari ini bukan titiknya (noktah), itu cuma koma saja. Ada banyak perkara perlu dipenuhi menteri bagi memastikan perkara pokok dilaksanakan sepanjang Ahli Parlimen Bera menjadi Perdana Menteri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat