Syed Danial Individu Di Sebalik Usaha Pulihkan Perpaduan Kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada setiap kali tiba bulan Ramadan, individu paling dinanti-nantikan bagi seluruh umat Islam di negara ini sudah semestinya Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial bertanggungjawab mengumumkan tarikh permulaan puasa dan hari raya menurut titah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Namun, di kala orang ramai teruja dengan pengumuman itu, tidak ramai mengetahui pesara kanan kerajaan itu antara individu penting yang terlibat dalam menyatukan kaum di negara ini selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Keadaan tidak harmoni itu berlaku sebelum pembentukan Rukun Negara yang menjadi dasar, tiang dan sendi kehidupan bernegara bagi mencapai sebuah negara Malaysia yang aman dan bersatu sejak 50 tahun lepas.

Berkongsi pengalaman dengan wartawan Bernama, Syed Danial, 76, menyatakan Majlis Muhibbah Negara (MMN) diwujudkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi memulihkan keadaan sosial kaum di negara ini.

Penglibatannya sendiri dalam MMN yang ditubuhkan pada 18 Julai 1969, dibuat atas semangat cintakan negara yang mahu memastikan perpecahan kaum yang berlaku ketika itu dapat ditamatkan.

Lebih menguatkan semangatnya untuk terlibat dalam MMN adalah kerana beliau menyaksikan sendiri keadaan yang berlaku ketika 13 Mei 1969.

“Saya baru dua tahun jadi pegawai kerajaan ketika itu. Semasa peristiwa 13 Mei (1969), saya di Jabatan Perdana Menteri. Kemudian saya ditawarkan ke bahagian lain.

“Tawaran sebagai Pegawai Daerah Nibong Tebal dan pegawai di Majlis Muhibbah Negara. Saya terus memilih MMN kerana saya menyaksikan sendiri bagaimana keadaan 13 Mei di Kampung Baru ketika itu,” katanya dalam temu bual sempena rakaman dokumentari khas ‘Rukun Negara: A Nation United’ terbitan Bernama.

Dokumentari dua episod bersempena ulang tahun Rukun Negara ke-50 ini akan disiarkan bermula 29 Ogos hingga 19 Sept di BernamaTV melalui platform ASTRO 502, Njoi 502, UnifiTV 631 dan MyFreeView 121 selain YouTube dan Facebook BernamaTV.

Jelas beliau, usaha mewujudkan MMN adalah langkah awal menyatupadukan masyarakat sebelum diwujudkan Rukun Negara yang dilancarkan pada 31 Ogos 1970.

Tugas MMN ketika itu yang melibatkan empat bahagian iaitu kawasan, daerah, negeri dan kebangsaan adalah menggalakkan semangat muhibbah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta bekerjasama memupuk dan mengekalkan perasaan saling mempercayai antara masyarakat.

“Urusan utama MMN adalah untuk mengembalikan keadaan sosial menjadi normal iaitu mengembalikan keadaan seperti sedia kala…seperti situasi sekarang ini, negara sedang berusaha melandaikan virus COVID-19, yang kita lihat sangat kritikal. Isu perpaduan kaum ketika itu juga kritikal,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut peranan MMN ketika itu, Syed Danial yang berasal dari Pulau Pinang berkata beliau terpaksa menjelajah sehingga ke kawasan pedalaman bagi memberi pemahaman tentang bahasa kebangsaan menerusi program Kelas Perpaduan Rakyat (KPR).

“Cabaran dihadapi semasa itu saya diperli di banyak tempat kerana ketika itu kita sedia maklum bangsa Melayu dan Cina berlainan pendapat. Pada masa itu, kita perkenalkan Kelas Perpaduan Rakyat yang bertujuan kelas bahasa Melayu untuk orang bukan Melayu.

“Walaupun pada tahun 1967 kita sudah ada bahasa kebangsaan ia tidak meluas, jadi kita nak didik daripada peringkat bawah supaya mereka boleh menerima bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Kita mahu menjanakan satu bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata usaha dalam penyatuan kaum ketika itu disambut baik oleh semua pihak termasuk pemimpin politik walaupun berbeza fahaman kerana matlamatnya sama iaitu perpaduan adalah tunjang utama bagi masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam pada itu, Syed Danial berpendapat generasi muda perlu mengerti dengan mendalam tentang lima prinsip Rukun Negara dan bukan ucapan di bibir sahaja tetapi memahami isi tersirat setiap ungkapan pada ikrar tersebut.

Beliau berkata pembentukan Rukun Negara harus menjadi pegangan setiap lapisan masyarakat dalam mencapai matlamat dan objektif falsafah negara itu, yang tidak lain tidak bukan untuk mencapai keharmonian dan perpaduan kaum demi memastikan kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Aspirasi utama pembentukan Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, dan kemakmuran yang dinikmati harus dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia, kata Syed Danial.

Lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat