KUALA LUMPUR, – Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) menyambut baik keputusan Perikatan Nasional (PN) menerima parti itu sebagai salah satu komponen dalam gabungan berkenaan, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha memperkukuh penyatuan politik orang Melayu dan umat Islam.
Presiden PEJUANG, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu hadir pada ketika negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi, sosial, keselamatan dan politik yang memerlukan satu kekuatan politik yang lebih bersatu serta diyakini rakyat.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh penyatuan ummah dan membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan yang berwibawa demi masa depan negara.
“PEJUANG percaya bahawa dalam keadaan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, sosial, keselamatan dan politik, keutamaan mesti diberikan kepada usaha memperkukuhkan penyatuan ummah serta membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan yang lebih berwibawa dan diyakini rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mukhriz berkata, penyertaan PEJUANG dalam PN juga selaras dengan prinsip perjuangan parti itu yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan parti serta individu.
Beliau menegaskan perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan sebuah saf perjuangan yang lebih besar demi kepentingan negara.
“Penyertaan ini selaras dengan pendirian PEJUANG bahawa kepentingan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa mengatasi kepentingan parti dan individu.
“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan sebuah saf perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara,” katanya.
Pada masa sama, Mukhriz memberi jaminan bahawa PEJUANG akan terus berpegang kepada prinsip integriti, keadilan dan tadbir urus yang baik serta komited memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau menyifatkan kemasukan PEJUANG ke dalam PN bukan sekadar penyertaan sebuah parti dalam gabungan politik, sebaliknya permulaan kepada usaha penyatuan kekuatan yang lebih besar bagi menangani ketidakstabilan politik dan krisis kepimpinan yang menurutnya semakin meresahkan rakyat.
“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menyatukan kekuatan umat dan membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” katanya.
Terdahulu, Majlis Tertinggi PN memutuskan menerima PEJUANG sebagai parti komponen baharu gabungan itu bersama Parti Cinta Malaysia (PCM) yang kini dalam proses penjenamaan semula sebagai Parti Wawasan Negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Keputusan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan PN menjelang landskap politik baharu pasca krisis dalaman gabungan berkenaan.



