KUALA LUMPUR- Rundingan antara Pas dan Umno menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan wujud dan sentiasa berjaya walaupun berlaku percanggahan kenyataan daripada pucuk pimpinan kedua-dua parti itu.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Tan Sri Annuar Musa berkata, bentuk kerjasama tersebut akan difahami oleh semua rakyat apabila senarai calon melibatkan kedua-dua parti itu diumumkan.
“Umno (Barisan Nasional) akan mengumumkan calon malam esok (Rabu) manakala Pas (Perikatan Nasional) sehari kemudian (Khamis). Apabila semua selesai (pengumuman calon) semua akan faham sendiri kenapa bentuk penamaan calon berlaku sedemikian.
“Rundingan dan perbincangan di antara Pas dengan Umno sentiasa berjalan bukan sahaja di Johor malah Untuk PRN Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain Kelantan City FC yang bersaing di Liga A1 Semi Pro di Bukit Marak lapor Utusan di Kota Bharu.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan berlakunya rundingan antara Pas dengan Umno untuk PRN Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, Pas akan menggunakan pendekatan di Negeri Sembilan berbeza dengan Johor.
Katanya, hal ini kerana kerana matlamat utama Pas bersama PN kali ini adalah mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
“Di Johor yang lebih tertumpu kepada menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang perjanjian dimuktamadkan antara UMNO dan Pas susulan dakwaan wujud rundingan kerusi antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.



