KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan bahawa perbicaraan membabitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan terkait isu program Jana Wibawa masih berjalan di mahkamah.
Justeru Tun Faisal berkata, beliau ingin mengetahui apa keputusannya sebelum berurusan dengan tuntutan pampasan fitnah RM10 juta yang dikemuka Wan Saiful.
“Saya dah serahkan urusan kepada peguam saya.
“Biar peguam urus dengan peguam sahajalah. Surat saya dah jelas.
“Perbicaraan kes Wan Saiful pun masih berjalan. Saya nak tengok apa keputusannya,” jelas Tun Faisal.
Terdahulu Wan Saiful dalam kenyataan berkata beliau memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dan menuntut pampasan RM10 juta, berkait kenyataan fitnah isu program Jana Wibawa, tahun lalu.
Wan Saiful berkata, writ saman dan penyataan tuntutan terhadap Tun Faisal difailkan peguamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Beliau mengarahkan peguamnya memfailkan saman itu kerana Tun Faisal enggan memenuhi tuntutan selepas tiga surat dihantar.
“Pada 3 Dis 2025, peguam saya menghantar satu surat kepada Tun Faisal susulan kenyataan fitnah yang beliau keluarkan terhadap saya dalam satu podcast ‘The Tiger Show’ pada 31 Okt 2025.
“Dalam surat itu, antara lainnya saya menuntut supaya Tun Faisal menarik balik, memohon maaf dan membayar ganti rugi RM10 juta atas kesalahan memfitnah saya,” katanya.



