KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyanggah kenyataan dibuat bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.
Mohamed Nazri berkata, beliau tidak pernah membuat kenyataan bahawa perasaan perdana menteri perlu dijaga bagi memastikan ketua hakim tidak ditamatkan tempohnya.
Tegas beliau, Ambiga telah gagal memahami apa yang dimaksudnya hubungan baik antara badan kehakiman dan eksekutif.
Menurut Mohamed Nazri, apa yang beliau tekankan adalah prinsip utama iaitu perlunya badan kehakiman dan eksekutif mempunyai hubungan yang baik.
“Pelik lah bila seorang yang sering mahu dilihat lebih pandai dari orang lain gagal memahami perkara semudah itu.
“Saya telah tegaskan, prinsipnya mudah, badan kehakiman dan eksekutif tidak boleh menyerang antara satu sama lain hingga mengelirukan masyarakat. Ini penting.
“Tetapi apa yang berlaku adalah ketua hakim sebelum ini ketika berucap di luar negara telah menyerang eksekutif, dia telah melanggar prinsip utama itu.
“Jadi tidak perlu ajar saya sebaliknya kamu yang perlu belajar memahami apa prinsip utama yang perlu dihormati oleh badan kehakiman dan eksekutif,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan pandangannya tidak membahayakan kebebasan badan kehakiman sebaliknya kegagalan Ambiga memahami apa yang diperkatakan itu lebih bahaya.
“Kalau peguam yang telah lama berkhidmat tak boleh faham prinsip yang penting ini lagi bahaya sebab ia membenarkan badan kehakiman masuk campur urusan eksekutif.
“Lain lah kalau dia rasa badan kehakiman masuk campur urusan eksekutif bukan satu kesalahan dan dibenarkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Majlis Raja-Raja perlu dirundingi dalam usaha melantik ketua hakim yang baharu.
Beliau juga menegaskan, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukanlah badan pemutus dalam menentukan siapa yang layak memegang jawatan tersebut.
“JAC hanya berperanan memberikan atau mencadangkan nama-nama yang dianggap layak kepada perdana menteri.
“Dari cadangan yang diberi, perdana menteri boleh minta supaya ditambah dua lagi nama jika perlu untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.
“Jadi biarlah Majlis Raja-Raja dirundingi terlebih dahulu, ada sembilan Raja-Raja Melayu yang akan bincang dan putuskan.
“Tak kan nak ikut sahaja cadangan JAC tanpa perlu Majlis Raja-Raja bincang siapa yang layak” katanya.



