Pembangkang harap Izzah sampaikan mesej perarakan Badan Peguam kepada Anwar

KUALA LUMPUR – Kehadiran Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam himpunan Majlis Peguam Malaysia di hadapan Istana Kehakiman pada Isnin bagi menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) mencuri tumpuan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap mesej-mesej penting perarakan bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman itu disampaikan Izzah kepada bapanya yang juga Perdana Menteri merangkap Presiden PKR.

“Jelas sekali sokongan kepada kebebasan institusi kehakiman adalah merentas parti dan merentas ideologi. Bagi saya, “Walk for Judicial Independence” yang dianjurkan oleh Bar Council Malaysia pada petang ini berjaya membuktikan betapa besarnya sokongan rakyat kepada agenda kebebasan institusi kehakiman.

“Apatah lagi apabila Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sendiri turut hadir. Saya harap beliau akan sampaikan kepada Presiden PKR mesej-mesej penting dari perarakan tadi.

“Kerajaan jangan ambil mudah suara rakyat ini. Pelbagai isu, termasuklah minit Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang bocor, boleh menyebabkan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman merudum,” katanya.

Sementara itu Nurul Izzah memberitahu beliau turut turun ke himpunan anjuran Majlis Peguam Malaysia petang ini kerana hak berhimpun secara aman bukan sahaja dijamin perlembagaan, malah didukung Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah berkata, dalam semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR, kerajaan perlu menambah baik struktur sedia ada supaya lebih lebih telus dan bertanggungjawab.

“Saya turut bersama-sama Badan Peguam Malaysia berarak bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

“Hak untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan didukung oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan sejurus membuat kemunculan bersama para peguam dan aktivis di Putrajaya hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, negara ini mempunyai tiga cabang utama iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan dengan setiap satu saling menyemak serta mengimbangi antara satu sama lain.

Langkah itu, katanya, adalah supaya tiada satu pihak pun yang bebas daripada pertanggungjawaban.

“Badan kehakiman yang bebas sangat penting untuk menghalang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, jemaah menteri dan pihak eksekutif.

“Begitu juga mahkamah boleh menegur parlimen jika undang-undang yang diperkenalkan bersifat menindas atau bercanggah dengan perlembagaan.

“Maka, perkara paling mustahak dalam menjamin keadilan adalah memastikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada dari dalam atau luar badan kehakiman,” katanya.

Perarakan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.

Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, tuntutan itu merangkumi gesaan supaya kerajaan mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat terkini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta menangani kekosongan jawatan secara menyeluruh.

Peserta perarakan hadir dengan pakaian hitam sebagai simbol solidariti dan membawa plakad menuntut ketelusan dalam pelantikan kehakiman serta mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat