Peminat macam adik sendiri – Ziana Zain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Ziana Zain sudah menganggap peminat yang selama ini setia menyokong kariernya, persis adik sendiri.

Biar bersilih ganti artis mewarnai dunia seni, kakak kepada Anuar Zain ini terus setia disayangi kelab peminatnya, Zianafolks.

Itulah yang diluahkan Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain ketika berucap pada majlis Zianafolks A Reunion di sebuah premis acara di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah manis, Ziana turut meraikan ulang tahun kelahiran ke-54 pada 2 Mei lalu bersama hampir 100 ahli kelab Zianafolks yang datang sejauh Brunei dan Singapura, selain peminat tempatan.

“Terima kasih kerana terus menjaga silaturahim sesama kita.

“Anda tidak pernah jemu sokong saya sejak dahulu. Disebabkan anda saya terus berada di arena seni. Semoga silaturahim ini kekal selama-lamanya.

“Hampir lima tahun tiada aktiviti saya bersama Zianafolks termasuk ketika diduga pandemik COVID-19. Kali ini dapat juga berjumpa anda semua,” katanya yang terakhir meraikan hari jadi bersama peminat pada 2017.

Ibu tunggal empat cahaya mata ini menambah, pada tahap sekarang, dia lebih banyak mencari keredaan Allah.

“Apa yang membentuk saya untuk menjadi lebih kuat dalam hidup adalah dengan selalu memaafkan orang. Ini kerana kita sendiri alpa dan melakukan kesilapan.

 

Ziana bersyukur disokong kelab peminat yang sentiasa berada di belakangnya sejak awal karier. Foto Ihsan Zianafolks

 

“Paling utama dalam hidup ini, hati harus bersih daripada hasad dan dengki. Saya harap peminat dapat bersama-sama mencari reda Allah,” katanya.

Ditanya impian yang belum dicapai, bintang filem Maria Mariana ini berdoa dijemput menjadi tetamu Allah mengerjakan ibadat Haji.

“Hampir semua impian dan doa saya dimakbulkan. Kecuali untuk ke Tanah Suci Makkah menyempurnakan rukun Islam kelima yakni menunaikan Haji.

“Semoga impian itu akan dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Ziana tidak menyangka tiket konsert bersama Anuar di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Ogos depan, habis dijual dalam tempoh 72 jam.

“Gabungan ini juga berkat doa ramai yang selama ini impikan saya dan Anuar bersama di pentas.

“Jadi, tiba masanya untuk tunaikan janji kami atas pengorbanan dan penghargaan anda semua,” katanya sambil berharap diberi kesempatan mengadakan konsert solo dan merakamkan single baharu sebagai hadiah kepada peminat.

Pada acara anjuran Zianafolks yang dihoskan personaliti terkenal, Viviana, Ziana mendendangkan lagu Indah Di Hari Raya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat