PM Ucap Takziah Pemergian Tokoh Pejuang Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ikon dan tokoh pejuang pendidikan negara, Tun Arshad Ayub.

“Perginya tokoh pejuang pendidikan yang amat besar sumbangannya pada negara.

“Sedih dan sayu mendapat khabar ahli akademik dan pendidik terbilang, Tun Arshad Ayub meninggal dunia pada awal pagi ini,” ucapnya.

Kata Perdana Menteri, negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia.

“Allahyarham adalah seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.

“Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini,” ujar Ismail Sabri pada Selasa.

Kini universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 graduan, katanya.

“Allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi.

“Beliau turut terlibat merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara yang menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani.

“Saya dan Keluarga Malaysia mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” ucap beliau.

Biodata Tun Arshad:

1. Anak jati Muar yang dilahirkan pada tahun 1928 ini adalah Pengasas dan Pengetua Kolej Perniagaan dan Pengajian Profesional MARA yang terus merevolusi hingga menjadi sebuah universiti, UiTM.

2. Bertugas sebagai Ketua Setiausaha bagi tiga kementerian.

3. Pernah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Gaji Harun dan Timbalan Gabenor Bank Negara.

4. Menjadi individu yang memperkenalkan sistem pendidikan perakaunan (ACCA) dan undang-undang (LLB) di Malaysia.

5. Memperkenalkan kursus-kursus profesional seperti Pengurusan Perniagaan, Sebaran Am dan Pengurusan Hartanah di ITM yang kini bergelar UiTM.

6. Memulakan program berkembar dan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran dan pengajaran di UiTM, yang kekal hingga hari ini.

7. Antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).