Kenang seniman negara

- Advertisement -

Menjadi legenda muzik yang cukup besar sumbangan dalam industri hiburan tempatan, Datuk Seri Ahmad Nawab adalah antara seniman yang terus dikenang dengan karya malar segarnya.

Justeru, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi agensinya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Istana Budaya (IB) bersama Bin Jamal Event Sdn Bhd menganjurkan Konsert Tribute Seniman Negara, Datuk Seri Ahmad Nawab pada bulan depan khas buatnya.

Sebagai pengelola konsert itu, penyanyi Datuk Jamal Abdillah sangat berbesar hati dan memuji semangat legenda berusia 90 tahun berkenaan untuk membuat penampilan di konsert terbabit.

“Kali terakhir saya menziarah beliau, keadaannya memang agak uzur. Konsert ini hampir tidak diteruskan kerana mengambil kira kesihatannya, takut dia tak mampu beraksi.

“Bagaimanapun, beliau setuju dan bersemangat untuk buat penampilan khas. Mungkin paling-paling beliau akan bermain saksofon pada penghujung konsert itu nanti,” katanya.

Berlangsung tiga hari dari 1 hingga 3 Julai di Panggung Sari, IB, barisan artis yang akan membuat persembahan bukan calang-calang. Bahkan, Jamal sendiri akan beraksi menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab.

Selain Jamal, turut membuat persembahan adalah Datuk Khatijah Ibrahim, Ramlah Ram, Wany Hasrita, Shidee, Alif Nasir dan ramai lagi.

 

JAMAL teruja menjayakan persembahan.

 

Berkongsi mengenai pemilihan Wany Hasrita, Jamal berkata strategi itu bertujuan untuk menarik lebih ramai penonton generasi muda. Dia juga gembira apabila Ahmad Nawab setuju dengan keputusan itu.

“Harapan saya konsert itu nanti akan penuh untuk ketiga-tiga hari. Kami juga sudah menghantar surat jemputan untuk tetamu kehormat datang menonton nanti.

“Saya juga memutuskan untuk pilih Wany Hasrita menyanyi nanti. Ini kerana dia memiliki jumlah pengikut yang ramai dan pasti boleh menarik penonton muda untuk hadir.

“Saya sudah menjelaskan perkara itu kepada Ahmad Nawab juga. Dia pun bersetuju dengan keputusan itu,” katanya.

Pada malam itu, persembahan mereka bakal diiringi orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Menurut Jamal, susunan lagunya kelak masih dikekalkan seperti asal dan tidak banyak digubah.

“Atas permintaan Ahmad Nawab, beliau mahukan susunan muzik kelak sebolehnya masih mengikut lagu asal. Cuma ia akan diperbesar dengan orkestra agar lebih gah,” katanya.

Ahmad Nawab tidak dinafikan sudah cukup besar sumbangannya dalam industri. Beliau pernah mencipta lagu untuk artis bernama besar termasuk Uji Rashid, Hetty Koes Endang, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram dan ramai lagi.

Hakikatnya, sudah lebih 2,000 lagu pernah dihasilkan sepanjang kariernya. Pada 2006, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) turut menganugerahkan beliau dengan gelaran Seniman Negara yang ke-7. Ia adalah penganugerahan tertinggi negara kepada seniman khususnya dalam bidang muzik.

Konsert yang yang memuatkan 1,250 tempat duduk itu menawarkan harga tiket masuk berharga RM100, RM158, RM248, RM358, dan RM458 mengikut zon pilihan masing-masing.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat