Pemberian Khas Sabah Dinaikkan Sebanyak 125.6 Juta Ringgit – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kerajaan menaikan amaun pemberian khas kepada negeri Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Dalam satu kenyataan media bersama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Meteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata amaun tersebut akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan hari ini.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40% daripada hasil Negeri Sabah dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian 2 khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi persetujuan tersebut adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri.

“Kerajaan Negeri Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah juga akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut.

“Persetujuan yang berjaya dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada Kerajaan Negeri Sabah serta keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat