KUALA LUMPUR – Keputusan Umno Sabah untuk tidak bertanding di dua kerusi DUN di Parlimen Semporna dikuasai Warisan pada PRN 29 Nov ini menunjukkan kebangkitan semula Langkah Kinabalu, dakwa seorang pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ketua STAR Kepayan, Bernard Logijin mendakwa kedua-dua parti itu nampaknya kembali bekerjasama seperti Langkah Kinabalu sebelum ini, dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Kenyataannya dibuat selepas Barisan Nasional (BN), yang merangkumi Umno Sabah, tidak meletakkan calon di kerusi Senallang dan Sulabayan ketika mengumumkan senarai calon bagi pilihan raya berkenaan.
Senallang dan Sulabayan kini disandang oleh pemimpin Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Jaujan Sambakong. Kedua-dua kerusi itu terletak dalam kawasan Parlimen Semporna, yang turut diwakili oleh Shafie, katanya yang dipetik Daily Express.
Bekas Adun Petagas, Datuk James Ligunjang sebelum ini dilaporkan berkata langkah itu menunjukkan wujudnya kerjasama strategik dan kesinambungan Langkah Kinabalu.
Langkah Kinabalu merujuk cubaan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk menggulingkan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah pada 2023.
Warisan, yang dipimpin Presidennya Shafie Apdal, dilaporkan bekerjasama dengan Umno Sabah dalam usaha menggantikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Logijin turut mengkritik dakwaan terbaru Warisan bahawa parti itu akan bergerak secara solo melalui pakatan ‘Sabah sahaja’, menyifatkannya sebagai ‘retorik politik kosong’ untuk meraih undi.
Beliau menyeru pengundi supaya tidak terpengaruh dengan kedua-dua parti tersebut dan sebaliknya menyokong calon tempatan yang benar-benar memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah.
“Langkah Kinabalu 1.0 telah gagal. Saya percaya 2.0 juga akan menghadapi nasib yang sama kerana pengundi kini lebih matang, bijak dan berani membuat perubahan besar demi melindungi kepentingan serta hak generasi akan datang,”dakwa beliau.



