Digantung dan digugurkan PHRS, Rina beri isyarat ambil langkah melawan

TAWAU, — Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal mempersoalkan tindakan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menggantung keahlian dan semua jawatannya hanya tiga hari sebelum hari penamaan calon, sambil menyifatkannya sebagai keputusan yang mencurigakan dan seolah-olah bertujuan menghalang beliau daripada bertanding semula.

Menurut Rina, penggantungan berkenaan dibuat tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar di sebalik keputusan parti itu.

“Saya sendiri terkejut apabila menerima makluman ini. Kenapa tiga hari sebelum penamaan calon? Tindakan ini amat pelik dan dilihat seperti ada niat tertentu untuk menyekat saya daripada bertanding.

“Saya tidak pernah meletakkan jawatan, malah terus aktif menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Apa juga isu dalaman sepatutnya boleh dibincangkan secara baik dalam semangat kekeluargaan parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan drastik itu turut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengundi dan mengganggu persiapan jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kukusan yang telah membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

“Saya percaya ramai penyokong GRS, khususnya di Kukusan, kecewa dengan tindakan ini kerana mereka tahu saya sentiasa bekerja keras untuk rakyat dan parti. Langkah seperti ini bukan sahaja mengecewakan, malah saya melihatnya sebagai cubaan licik untuk menyingkirkan saya menjelang pilihan raya,” katanya.

Rina turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan itu meskipun berdepan kemelut politik dalaman.

“Saya menghormati keputusan parti, tetapi saya juga berhak mempertahankan diri dan menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat. Perjuangan saya tidak berakhir di sini,” katanya.

Menurut Rina, beliau akan menilai langkah politik seterusnya selepas berbincang dengan penyokong serta keluarga terdekat dalam masa terdekat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat