Platform penstriman tempatan, MYTV Mana Mana terus memperkukuhkan peranannya dalam menawarkan kandungan hiburan tempatan berkualiti apabila memperkenalkan siri original pertama di bawah jenama MYTV Originals, berjudul BF Green Flag. Siri ini merupakan langkah strategik MYTV dalam memperluas pengaruhnya sebagai penyedia kandungan digital yang relevan dengan citarasa penonton masa kini.
BF Green Flag yang terdiri daripada 20 episod berdurasi tujuh minit setiap satu, bakal menemui penonton bermula 13 November ini, setiap hari Khamis pada jam 12.00 tengah hari secara eksklusif hanya di aplikasi MYTV Mana Mana. Menariknya, bagi memberi peluang kepada penonton menikmati pengalaman baharu ini, MYTV menawarkan akses percuma kepada lima episod pertama siri tersebut.
Hasil terbitan Astra Entertainment, BF Green Flag mempertaruhkan gandingan pertama kali antara pelakon berbakat Syazwan Razak dan penyanyi Athalia, yang kini membuat penampilan sulungnya sebagai pelakon. Dalam siri ini, Syazwan menampilkan sisi lakonan yang lebih matang dan berkarakter melalui wataknya sebagai Alfa, manakala Athalia membawa nafas segar dengan penghayatan jujur terhadap watak Adella yang sarat dengan konflik emosi.
Turut menjayakan siri ini ialah barisan pelakon berpengalaman seperti Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa-Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana, Dottie Syuhada, serta penampilan istimewa beberapa pempengaruh popular tanah air seperti Ryan Bakery, Farihinarnia, dan WanChai. Gabungan antara pelakon berpengalaman dan wajah baharu ini berjaya mewujudkan keseimbangan dinamik yang memberikan tenaga segar kepada penceritaan, menjadikan BF Green Flag sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton.
Dari segi jalan cerita, BF Green Flag membawa penonton menyelami kisah Adella, seorang wanita yang menutup pintu hatinya selepas dikhianati dalam hubungan toksik. Namun, takdir mempertemukannya dengan Alfa, jejaka yang diperkenalkan oleh makciknya. Pertemuan itu mengubah hidup Adella secara perlahan-lahan dari rasa curiga menjadi percaya, dari luka menjadi sembuh. Kisah ini bukan sekadar tentang cinta, tetapi juga tentang keberanian untuk membuka hati semula dan mengenali makna cinta yang sihat bersama lelaki yang benar-benar ‘green flag’.
Siri yang diarahkan oleh Kamal Husni dan ditulis oleh Faten Syamimie ini bukan sekadar tontonan romantik, tetapi turut mengetengahkan isu penting dalam kalangan remaja dan orang muda, iaitu kesihatan mental serta kesan trauma akibat hubungan toksik. Melalui penceritaan yang realistik dan dekat dengan jiwa penonton, BF Green Flag berfungsi sebagai satu bentuk kesedaran atau wake-up call kepada generasi muda tentang kepentingan menjaga kesihatan mental, memahami tanda-tanda hubungan tidak sihat, serta membina semula kepercayaan terhadap diri dan orang lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, En. Mohamad Helmi Harith, pelancaran MYTV Originals menandakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan.
“Pelancaran MYTV Originals menjadi langkah strategik kami dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan. Sudah tiba masanya MYTV bukan sahaja menjadi platform penyiaran, tetapi juga pemangkin kepada kebangkitan kandungan tempatan yang lebih segar, autentik dan relevan dengan penonton masa kini. Melalui BF Green Flag sebagai siri original pertama, kami ingin memberi pengalaman berbeza kepada penonton dengan menikmati karya berkualiti tinggi dan pada masa sama memperkukuh daya saing kandungan Malaysia di peringkat digital,” jelas beliau.
Beliau turut menambah bahawa siri ini dijangka mendapat tempat di hati penonton khususnya golongan Gen Z kerana mesej dan isu yang diketengahkan sangat dekat dengan kehidupan mereka. Namun begitu, tema universal seperti trauma, peluang kedua dan penyembuhan menjadikan kisah ini tetap relevan untuk semua lapisan penonton.
“Kami harap siri MYTV Originals ini dapat diterima oleh penonton serta mampu mencetuskan gelombang baharu dalam industri kreatif tempatan,” tambah beliau.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Dato’ Rozaidi Baharudin berkata bahawa penerbitan BF Green Flag bukan semata-mata untuk hiburan, tetapi untuk membawa nilai yang bermakna kepada penonton.

“Sebagai penerbit, kami percaya setiap naskhah harus membawa nilai, bukan sekadar hiburan. BF Green Flag dihasilkan untuk mengetengahkan tema yang relevan dengan Gen Z seperti trauma, kepercayaan dan cinta yang sihat, di samping membuka ruang kepada pelakon muda untuk menyerlah melalui penceritaan yang dekat dengan jiwa mereka,” katanya.
Menambah daya tarikan, siri ini turut menampilkan lagu tema berjudul Hanya Namamu Cinta nyanyian Dafi, yang merupakan rakaman semula daripada album pertamanya. Lagu ini diberi nafas baharu khas untuk BF Green Flag dan disusun semula bagi menambahkan kesan emosi terhadap perjalanan watak utama. Versi terkini lagu tersebut dikatakan berjaya menguatkan lagi naratif siri ini dengan melengkapkan suasana romantik dan penyembuhan yang menjadi teras kisahnya.
Penonton boleh menonton BF Green Flag secara eksklusif di aplikasi MYTV Mana Mana bermula 13 November ini, setiap hari Khamis pada pukul 12.00 tengah hari. Untuk menikmati klip eksklusif dan perkembangan terkini, penonton boleh mengikuti akaun rasmi MYTV dan MYTV Mana Mana di semua platform media sosial.
Dalam masa yang sama, MYTV turut mengumumkan bahawa satu kerjasama strategik bersama CelcomDigi akan dilancarkan tidak lama lagi. Kerjasama ini bakal menawarkan pelbagai tawaran menarik kepada pelanggan CelcomDigi untuk menonton kandungan premium termasuk siri MYTV Originals di aplikasi MYTV Mana Mana.
Dengan kehadiran BF Green Flag, MYTV bukan sahaja memperkenalkan satu lagi naskhah hiburan yang menarik, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam landskap penstriman tempatan membuktikan bahawa kandungan tempatan mampu berdiri setanding dengan karya antarabangsa apabila dihasilkan dengan nilai, kejujuran dan semangat kreatif yang tinggi.



