KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan, pergolakan di Negeri Sembilan seolah-olah tidak ada kesudahan.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, ia merupakan isu yang rumit dan melibatkan pelbagai aspek yang berada di luar bidang tugas DAP.
Namun kata Loke, satu perkara mesti jelas, apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan oleh DAP.
“DAP tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha yang mencetuskan krisis politik dan perlembagaan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
“Hari ini, DAP bukan lagi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri. Maka, DAP tidak seharusnya terus dikaitkan atau dijadikan alasan terhadap kemelut yang berlaku.
“Seperti yang ditegaskan dalam Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24, seluruh wakil rakyat dan pimpinan DAP perlu terus fokus kepada tugas masing-masing dan memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya.
Sebaliknya Menteri Pengangkutan itu berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
“Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga telah menitahkan Menteri Besar supaya mengemukakan nama baharu untuk mengisi kekosongan jawatan Exco.
“Jadi, sebenarnya tiada masalah untuk pentadbiran diteruskan. Mereka boleh mengemukakan calon lain dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan.
“Namun, sebuah Kerajaan Negeri yang hanya mempunyai seorang Menteri Besar tanpa seorang pun ahli Exco sememangnya sesuatu yang pelik.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana banyak keputusan dan urusan pentadbiran memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Bagi DAP, tumpuan sekarang bukan kepada pergolakan pihak lain. Fokus kita adalah memperkukuh parti, mempersiapkan jentera dan paling penting, terus berkhidmat kepada rakyat.
“Sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, tanggungjawab DAP kepada rakyat tidak pernah berubah,” katanya.



