KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 diharapkan dapat memperbaiki ketirisan subsidi, hasil dapat diagihkan kepada rakyat termasuk kenaikan upah golongan pekerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdepan dengan era pasca normal (postnormal times) yang dicirikan oleh keberantakan (chaos), kerumitan (complexity), pertentangan (contradiction) akan bantu kita mengemudi jalan keluar.
“Kemelut yang tercetus mempunyai kelajuan (speed), cakupan (scope), skala (scale) dan keserentakan (simultaneity) yang membimbangkan.
“Akibatnya, adalah memangsakan rakyat merosakkan ekosistem dan menggugat rantaian bekalan makanan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Justeru kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, kita harus melakar dan menghayati dengan memperbaiki ketempangan dalam sistem ekonomi negara.
“Kita mulakan dengan memperbaiki tatakelola, sistem tadbir urus dan membanteras rasuah.
“Antara contoh ketara adalah pelaksanaan sistem subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan elit dan mahakaya.
“Seharusnya kebijakan ekonomi terarah kepada pertumbuhan dan pemerataan ekonomi.
“Namun, apa yang berlaku adalah jumlah subsidi besar yang memberi manfaat kepada golongan kaya,” tegasnya.
Susulan itu, keterlanjuran lalu juga mengakibatkan hutang dan liabiliti negara menjangkau 1.5 trilion atau 82 peratus kepada KDNK.
“Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka mencatat 46.1 bilion ringgit atau 15.2 peratus daripada hasil 2024.
“Hanya dengan mengurangkan defisit dan tanggungan, kerajaan dapat mengembalikan kedudukan fiskal negara yang mampan.
“Maka, Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan Madani Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.
“Alhamdulillah, menjengah usia hampir setahun, pimpinan Kerajaan Perpaduan sedaya upaya menjelmakan semula kekuatan watan. Ekonomi domestik Malaysia terus kukuh,” katanya.
Kata Anwar, kadar pengangguran berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos 2023 iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum COVID-19 (3.3 peratus); kendatipun kebergantungan makanan import masih tinggi, tekad dan kesungguhan semua pihak berjaya meredakan inflasi secara
beransur-ansur setiap bulan.
“Pada Ogos 2023, kadar inflasi hanya 2 peratus iaitu antara terendah di rantau ini malah lebih
baik ketimbang negara ekonomi maju.
“Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing. Bagi separuh pertama 2023, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.
“Pencapaian ini merangkumi RM63.3 bilion pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651
projek dan dijangka menghasilkan lebih 51 ribu peluang pekerjaan.
“Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong. Setakat Ogos 2023 menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta pelancong, iaitu lebih tiga kali ganda ketimbang tahun lalu,” kata Anwar.
Jelas beliau lagi, indikator-indikator inilah yang sebenarnya merupakan kekuatan hakiki negara.
“Insya-Allah, dengan itu prestasi ekonomi akan terus pulih meski kita menghadapi tantangan ringgit.
“Sementelahan ini membuktikan negara di landasan yang tepat, namun kita tidak harus mendabik dada dan terlalu cepat berpuas hati.
“Perlu diakui bahawa situasi ekonomi global yang mencengkam telah menempiasi prestasi ekonomi kita. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023 mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 2.9 peratus ketimbang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.
“Secara keseluruhan, kita mencapai pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus,” ujar beliau.
Tambah beliau, pencapaian ini cerminan permintaan eksport yang lebih perlahan selain dampak asas yang tinggi pada suku kedua tahun lalu.
“Seiring realiti perkembangan ini, pertumbuhan KDNK bagi tahun 2023 harus diunjur semula kepada sekitar 4 peratus.
“Justeru, kesempatan yang ada perlu dimanfaat untuk kita melakukan reformasi menyeluruh terhadap struktur ekonomi bagi mengembali tahap negara sebagai jaguh Asia,” kata Anwar.