KUALA LUMPUR – Seorang anak murid dari program Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara Play-Off Qualifier Round, Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar, semalam.
Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, murid dari Kelas 4 Sapphire dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru mendapat tempat pertama pusingan penentuan kelayakan yang berlangsung.
Kejayaan itu membolehkan beliau melangkah ke World Final Round yang dijadualkan akan berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober ini.
Hippo English Without Borders merupakan pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa yang disertai lebih 90,000 peserta dari lebih 70 negara, melibatkan murid dan pelajar berusia antara enam hingga 19 tahun.
Pertandingan berkenaan turut berpandukan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), dengan peserta dinilai menerusi kemahiran membaca, menulis, mendengar, bertutur dan tatabahasa.
Dalam pusingan penentuan di Doha, Wan Harriz mengatasi peserta dari Arab Saudi yang menduduki tempat kedua, manakala peserta Kyrgyzstan berada di tempat ketiga.
Seramai 14 peserta berentap dalam pusingan berkenaan, termasuk dua wakil Malaysia, dengan seorang lagi peserta negara, Eshant Ashvik Shashidara dari SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, menduduki tempat kelima.
Pencapaian Wan Harriz itu dilihat selari dengan Teras 1 SRBJ yang memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam usaha melahirkan murid berdaya saing di peringkat global.
Kejayaan tersebut turut membuktikan pendekatan pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik, keyakinan diri dan kemahiran komunikasi mampu membuka peluang lebih luas kepada anak-anak Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Wan Harriz atas pencapaian membanggakan itu.
Beliau turut menghargai sokongan ibu bapa, guru serta pihak sekolah yang menjadi antara faktor penting dalam membimbing Wan Harriz sehingga mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Muhammad Naqib berkata, Kerajaan Negeri Johor akan terus memberikan sokongan kepada Wan Harriz dan mendoakan agar murid berkenaan terus cemerlang dalam pusingan akhir dunia di Itali.



