Eric See-To persoal naratif kerugian Al-Rawda, desak audit forensik didedahkan

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To mempersoalkan tindakan melabel pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan Al-Rawda Real Estates Development & Project Management sebagai kerugian tanpa mengambil kira keseluruhan struktur transaksi, wang yang telah diterima serta usaha pemulihan yang masih berjalan.

Menurutnya, transaksi Al-Rawda mempunyai rasional komersial dan operasi apabila TH membayar kira-kira SAR1.426 bilion secara pendahuluan bagi mendapatkan hak pajakan jangka panjang sehingga 18 tahun untuk empat hotel di Makkah dan Madinah.

Empat hotel berkenaan ialah Hotel Al-Aqiq, Al-Haram dan Al-Saha di Madinah serta Hotel Rawdat Al-Bait di Makkah.

“Kenapa TH sanggup bayar begitu besar secara upfront? Sebab TH bukan sekadar mahu pulangan pelaburan. TH mahu menjamin bekalan bilik untuk jemaah Haji dalam jangka panjang dan mengunci kos penginapan supaya tidak terdedah kepada kenaikan harga hotel setiap tahun,” katanya dalam satu tulisan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan TH.

Eric berkata, bagi Hotel Al-Haram dan Al-Saha, kedudukannya sekitar 100 meter dari kawasan Masjid Nabawi turut memberikan kelebihan strategik kepada TH.

Menurut beliau, perjanjian berkenaan bukan sahaja memberikan akses kepada bilik hotel untuk kegunaan jemaah, malah Al-Rawda yang menguruskan hotel terbabit diwajibkan membayar pendapatan sewaan kepada TH.

Katanya, keseluruhan pendapatan sewaan yang dijadualkan sepanjang tempoh perjanjian adalah sekitar SAR2.49 bilion berbanding bayaran pendahuluan TH sebanyak SAR1.426 bilion.

Eric turut menolak gambaran seolah-olah Al-Rawda tidak pernah membuat pembayaran kepada TH dengan mendakwa lebih RM300 juta telah dibayar sebelum pembayaran terhenti pada Mac 2019.

“Persoalannya, kenapa selepas perjanjian berjalan dan pembayaran dibuat, Al-Rawda tiba-tiba berhenti pada Mac 2019?

“Apa yang terjadi masa PH ini yang menyebabkan mereka henti bayar setelah bertahun-tahun membayar sampai lebih RM300 juta?” soalnya.

Bagaimanapun, Eric tidak mengemukakan bukti bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menyebabkan Al-Rawda menghentikan pembayaran, sebaliknya membangkitkan persoalan mengenai apa yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata keadaan kemudian bertambah buruk apabila pandemik Covid-19 menyebabkan operasi hotel serta perjalanan Haji dan Umrah terjejas selama kira-kira dua tahun.

Menurut Eric, perkembangan itu sepatutnya turut diambil kira dalam rundingan dan penilaian terhadap kegagalan kontrak tersebut dan bukannya semata-mata menyatakan Al-Rawda gagal memenuhi obligasinya.

Beliau juga mempertikaikan tindakan menyamakan impairment atau baki pembayaran yang belum diperoleh semula sebagai kerugian muktamad TH.

Katanya, TH telah mengambil beberapa tindakan pemulihan termasuk melalui promissory notes, pembekuan aset, rundingan penyelesaian, proses likuidasi dan timbang tara.

Malah, katanya, laporan RCI menyatakan pemilik Al-Rawda yang memberikan jaminan peribadi mempunyai 20 hartanah di Jeddah, Madinah dan Makkah.

“Sebab itu sangat mengelirukan jika seseorang terus mengambil impairment atau baki belum dibayar lalu menyebutnya sebagai ‘kerugian muktamad’,” katanya.

Eric turut berhujah pembatalan susunan jangka panjang tersebut menyebabkan TH kehilangan manfaat mengunci harga bilik hotel untuk tempoh bertahun-tahun dan terpaksa berhadapan dengan kadar pasaran semasa.

Beliau berpandangan kehilangan perlindungan kos itu berkemungkinan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos penginapan dan seterusnya kos mengerjakan haji sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Justeru, katanya, jumlah kerugian sebenar Al-Rawda hanya boleh ditentukan selepas mengambil kira wang yang sudah diterima TH, nilai aset yang masih boleh dikuatkuasakan, tuntutan yang masih berjalan serta manfaat jangka panjang daripada kontrak yang telah hilang.

“Berapa sebenarnya kerugian akhir selepas semua wang yang telah diterima, aset yang masih boleh dikuatkuasakan, tuntutan yang masih berjalan dan manfaat jangka panjang yang hilang apabila perjanjian ini terbatal diambil kira?” soalnya.

Eric pada masa sama mendesak kerajaan mendedahkan laporan audit forensik berhubung transaksi Al-Rawda yang menurutnya telah disiapkan seperti dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat.

“Jadi kenapa laporan tersebut masih tidak didedahkan kepada rakyat?

“Bukankah laporan itu sepatutnya mampu menjawab persoalan penting mengenai keseluruhan transaksi Al-Rawda – termasuk apa sebenarnya yang berlaku sehingga pembayaran terhenti pada Mac 2019 ketika PH1.0 memerintah?” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat