Kor Ming boleh tiru surat letak jawatan saya – Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menyarankan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming supaya tidak perlu bersusah payah membuat surat letak jawatan baharu sebaliknya boleh meniru surat peletakan jawatan yang pernah ditulisnya sewaktu melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Akmal memberitahu Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu hanya perlu mengubah nama, tarikh dan tempat mengikut kesesuaian.

“Kepada Nga Kor Ming, saya sertakan surat peletakan jawatan saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka yang bertarikh 19 Jan 2026 kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Melaka untuk menjadi sumber rujukan kepada kamu bagi menulis surat peletakan jawatan sebagai menteri.

“Kamu boleh ubah nama,tarikh dan tempat mengikut kesesuaian

“Ayat-ayat yang lain kamu boleh tiru 100 peratus.

“Kalau surat pun kamu tidak berani tulis dan hantar,jangan sembang lah,” selar Akmal sambil menggesa Kor Ming letak jawatan.

Kor Ming sebelum ini dilaporkan menafikan beliau pernah berjanji untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekiranya Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dalam PRN Johor.

Beliau menjelaskan bahawa kenyataan beliau dalam satu wawancara eksklusif dengan akhbar Oriental Daily telah disalah tafsir.

Menurutnya, beliau hanya berikrar akan meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya dalam kes SRC International.

Katanya, jika Najib yang mengakibatkan rakyat menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 billion dilepaskan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang juga tidak lagi dihormati.

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama. Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini,” katanya dalam satu kenyataan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat