KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberikan pengajaran yang besar kepada Pakatan Harapan (PH).
Johor adalah pengajaran, bukan penamat dan jangan biarkan kekecewaan semalam merampas peluang esok, kata Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.
“Kami akan meneliti keputusan ini dengan penuh keinsafan, mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki segala kekurangan.
“Jangan menyalahkan rakyat atas pilihan mereka. Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kita untuk mendapatkan semula keyakinan mereka melalui kerja yang lebih baik, dasar yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat dan politik yang lebih matang.
“Perjuangan belum berakhir. Selagi ada rakyat yang mengharapkan politik yang bersih, pentadbiran yang berintegriti dan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia, selagi itulah perjuangan ini akan diteruskan.
“Kita mungkin kalah dalam satu pilihan raya, tetapi kita tidak akan kalah dalam tekad untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Semoga Allah SWT terus memimpin langkah kita semua. Tahniah kepada pemenang. Hormat kepada pilihan rakyat. Istiqamah dalam perjuangan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Mahfuz turut menukilkan kata bahawa Johor bukan penamat, Johor adalah guru.
“Johor mengajar kita bahawa rakyat tidak boleh dianggap akan mengundi kita selama-lamanya.
“Keyakinan rakyat perlu dimenangi semula setiap hari, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
“Kini Negeri Sembilan memanggil dan esok perjuangan bersambung.
“Esok rakyat Negeri Sembilan akan melihat ,adakah kita kecewa atau kita bangkit.
“Pejuang sebenar bukan diukur ketika menang, tetapi ketika kalah,” pesan beliau.
Dalam pada itu, Mahfuz mengucapkan tahniah kepada Kepimpinan Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam PRN Johor.
“Keputusan ini adalah mandat rakyat yang wajib dihormati. Saya berharap kerajaan negeri yang baharu akan menunaikan amanah dengan penuh integriti, mengutamakan kebajikan rakyat dan meletakkan kepentingan negeri Johor dan Malaysia mengatasi kepentingan politik.
“Kepada seluruh rakyat Johor, saya mengucapkan terima kasih kerana menunaikan tanggungjawab demokrasi. Walau apa pun pilihan politik, saudara dan saudari telah menentukan hala tuju negeri melalui peti undi. Demokrasi menjadi lebih kuat apabila rakyat terus mengambil bahagian.
“Kepada semua calon Pakatan Harapan yang berjaya, saya ucapkan tahniah. Kemenangan bukan satu keistimewaan, tetapi amanah yang lebih berat. Jadilah wakil rakyat yang mendengar denyut nadi rakyat, merendah diri dan bekerja tanpa mengenal penat.
“Kepada calon-calon PH yang tidak berjaya, jangan sesekali menganggap kekalahan ini sebagai pengakhiran. Dalam politik, kekalahan adalah guru yang paling jujur. Bangkitlah dengan lebih kuat, lebih dekat dengan rakyat dan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang.
“Kepada seluruh petugas, sukarelawan, jentera dan pejuang Pakatan Harapan di Johor serta di seluruh negara, saya ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya. Ada yang meninggalkan keluarga, mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi perjuangan yang diyakini.
“Pengorbanan itu tidak pernah sia-sia. Nilai perjuangan tidak hanya diukur dengan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi juga dengan kesetiaan kepada prinsip dan kesanggupan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.



