Rakyat Malaysia Mungkin Jadi ‘Tali Barut’ Kesultanan Sulu, Kata Azalina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi mendapatkan pampasan ke atas Sabah.

Mendedah situasi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tidak menolak kemungkinan orang dalam menjadi dalang dalam tuntutan kumpulan Sulu itu, berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

“Sekarang ini, kita hendak siasat sebenarnya (siapa) yang terbabit, mungkin ada ‘inside game’… kebocoran (maklumat) atau tindakan yang memberi kekuatan yang agak begitu pelik kepada kumpulan berkenaan.

“Saya sedang siasat dan perkara ini sememangnya dalam proses siasatan kita, yang mana kita hendak tahu apa sebenarnya menjadi punca tuntutan mereka ini.

“Jika mereka mahu membuat tuntutan sepatutnya sudah lama, sejak bayaran pampasan dihentikan pada 2013. Kenapa baru sekarang, secara tiba-tiba mereka kemukakan tuntutan,” katanya kepada media pada Isnin.

Azalina mendedahkan situasi itu ketika mengulas usaha kerajaan menangani kumpulan Sulu yang kini semakin berani mengemukakan beberapa tuntutan di mahkamah timbang tara komersial antarabangsa.

Sebelum ini, Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan kumpulan Sulu.

Azalina dijangka berlepas ke Eropah, bagi mengumpulkan maklumat berhubung isu tuntutan kumpulan terbabit.

Ini susulan tindakan kumpulan Sulu yang masih meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan award terakhir walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Awal bulan ini, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri sebagai kumpulan Sulu, berhubung pembatalan pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.

Difahamkan Kumpulan Sulu itu menggunakan surat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, pada 2019 yang membuat pengakuan bahawa negara berhutang kepada waris Kesultanan Sulu sebagai bukti tuntutan di mahkamah timbang tara di Eropah.

Surat pengakuan Thomas itu menjadikan Malaysia tersepit dalam usaha mempertahankan diri daripada tuntutan Sulu.

Azalina bagaimanapun berkata, kerajaan tidak boleh mendedahkan strategi dalam menangani tuntutan Kumpulan Sulu, namun memerhati dengan teliti percanggahan input, maklumat, pandangan dan kedudukan dalam mengendalikan isu tuntutan kumpulan itu.

“Terdapat pegawai kanan kerajaan membuat keputusan tanpa keputusan Kabinet dalam hal ehwal kepentingan dan kedaulatan negara.

“Perkara sebegini wajar dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri. Saya percaya prinsip tanggungjawab bersama dan tanggungjawab Kabinet kepada Parlimen melalui Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau memberi amaran, sesiapa saja warga tempatan yang terbabit membantu kumpulan itu tidak terlepas dan kemungkinan boleh didakwa kerana menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, tindakan seumpama itu (terbabit dengan kumpulan Sulu) boleh dikategorikan sebagai pengkhianatan kepada negara, yang mana hukuman bagi sabit kesalahan adalah gantung sampai mati.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Pengerang itu menjelaskan Sekretariat Khas yang ditubuhkan kerajaan pada 17 Februari lalu, kini memantau tindakan perundangan serta strategi yang berkaitan kes tuntutan Kumpulan Sulu.

“Keahlian Sekretariat Khas ini juga diperluaskan kini terdiri daripada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi Digital, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Besar Sabah dan pakar perundangan dalaman,” katanya lapor BH.

Ditanya mengenai mengapa isu tuntutan itu tidak diselesaikan melalui pendekatan diplomatik dengan Filipina, katanya Kerajaan Malaysia hanya boleh menyelesaikan isu tuntutan melalui pendekatan diplomatik sekiranya isu ini membabitkan Kerajaan Filipina.

Namun, katanya buat masa ini, isu tuntutan ini tidak membabitkan negara berkenaan dan kes itu antara Kerajaan Malaysia dan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Sulu.

Mengenai jangkaan lebih banyak tuntutan ke atas aset Malaysia melalui syarikat milik negara, katanya tuntutan kumpulan itu tindakan komersial yang melanggar hak kedaulatan Malaysia terhadap Sabah serta mencuba mengganggu gugat dengan aset-aset di luar negara.

“Tindakan mereka itu satu tindakan ‘commercial piracy’. Kerajaan Malaysia tidak boleh menjawab bagi pihak syarikat terbabit memandangkan syarikat adalah entiti yang berbeza dan tidak berkaitan dengan Malaysia.

Mengenai usaha menghalang Kumpulan Sulu melalui Mahkamah Antarabangsa, katanya memandangkan pertikaian ini bukan antara kerajaan, maka mahkamah antarabangsa bukan mahkamah yang relevan untuk mendengar isu ini.

Beliau juga menegaskan kerajaan dalam proses menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah di Sepanyol, yang mana tarikh prosiding di Sepanyol akan ditetapkan kelak.

“Kita juga akan membawa wakil Kerajaan Negeri Sabah dalam mana-mana perbincangan kita berhubung isu ini kerana mereka lebih memahami isu berkaitan kedaulatan negeri itu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat