BATU GAJAH — Armada Bersatu hari ini menyatakan bantahan terhadap tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam
Ketua Armada Batu Gajah, Nadhir Zuhair Nozi berkata, cadangan ini jelas menunjukkan Chow Yu Hui kurang memahami struktur pentadbiran negara dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, dan struktur pentadbiran negara sudah pun menyediakan mekanisme yang adil untuk mengurus hal ehwal semua agama melalui kementerian sedia ada seperti Kementerian Perpaduan Negara.
“Ia boleh menimbulkan ketegangan agama dan memecahbelahkan perpaduan nasional yang telah lama terjalin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, cadangan ini bukan sahaja tidak selaras dengan semangat Perlembagaan, tetapi juga berpotensi menggugat keharmonian dan sensitiviti agama di Malaysia.
Terdahulu, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Ahli Parlimen Raub itu berkata, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Malah katanya, Exco khusus untuk menjaga rakyat bukan Islam juga turut diwujudkan di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.