Tell lebarkan sayap ke Asia Tenggara, Kuala Lumpur jadi hab produksi sukan global

- Advertisement -

Kuala Lumpur, – Syarikat produksi teknikal global, Tell, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri penyiaran sukan dengan pembukaan pejabat operasi di Kuala Lumpur, Malaysia. Keputusan ini menandakan langkah strategik Tell dalam memperluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara, sejajar dengan pertumbuhan pesat yang dicatatkan sejak penubuhannya pada tahun 2020.

Menurut Pengarah Syarikat merangkap pengasas, Tom Ellis, pemilihan Kuala Lumpur sebagai hab operasi serantau didorong oleh faktor budaya, kepelbagaian masyarakat, serta peluang besar dalam industri sukan dan penyiaran di rantau ini.

“Kami melihat Kuala Lumpur sebagai lokasi yang ideal untuk operasi kami di Asia Tenggara. Infrastruktur moden serta kehadiran pelbagai acara sukan bertaraf dunia menjadikannya pilihan terbaik untuk menyokong visi kami dalam menghasilkan produksi teknikal yang inovatif,” kata Ellis.

Beliau turut menambah bahawa keunikan Malaysia sebagai negara berbilang budaya dan bahasa memberi kelebihan besar kepada operasi syarikat.

“Malaysia adalah sebuah negara dengan masyarakat yang pelbagai dan fasih dalam pelbagai bahasa, yang memudahkan komunikasi serta urusan perniagaan. Selain itu, teknologi yang terdapat di Malaysia sudah mencapai tahap tertinggi, menjadikan ia lokasi yang sempurna bagi kami untuk berkembang,” jelas Ellis.

Namun, dengan nada berseloroh dan ketawa kecil, Ellis menegaskan bahawa satu lagi faktor utama yang membuatkan beliau teruja dengan kehadiran Tell di Malaysia adalah makanannya.

“Saya harus akui, makanan di sini luar biasa! semuanya membuatkan saya semakin yakin bahawa kami telah membuat keputusan yang tepat untuk berada di Kuala Lumpur,” katanya sambil tertawa.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar, Tell melantik Alex Wong sebagai Pengarah Pengurusan bagi Asia Tenggara. Wong, yang memiliki pengalaman luas dalam bidang penyiaran dan grafik siaran langsung, pernah berkhidmat dengan organisasi berprestij seperti Persekutuan Badminton Dunia dan Konfederasi Bola Sepak Asia.

Selain itu, Azman Azmy turut dilantik sebagai Penerbit Kanan. Berpengalaman lebih dari satu dekad dalam produksi sukan, beliau pernah menerbitkan dokumentari “Sampai Mati Kuala Lumpur”, sebuah siri lapan episod mengenai perjalanan pasukan Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia 2021.

Pejabat baharu Tell di Bukit Jalil dipilih kerana lokasinya yang strategik dalam ekosistem sukan Malaysia. Selain menempatkan stadium nasional, kawasan ini juga merupakan pusat bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), menjadikannya lokasi yang sesuai untuk syarikat yang berfokus kepada produksi sukan.

Keputusan membuka pejabat di Kuala Lumpur turut disokong oleh kejayaan Tell dalam mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 86.6% dalam tempoh tiga tahun kewangan (2020/2021 – 2023/2024). Kejayaan ini membuktikan permintaan yang tinggi terhadap kepakaran produksi teknikal yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.

Selain itu, Tell juga telah terlibat dalam pelbagai acara sukan global, termasuk FIFA Club World Cup 2022 & 2023, AFC Asian Cup 2023, ASEAN Mitsubishi Electric Cup 2024, dan Futsal World Cup 2024.

Sebagai syarikat yang berpandangan jauh, Tell terus meneroka teknologi baharu dalam penyiaran dan produksi sukan. Dengan penggunaan kit penyiaran “flyaway”, pusat produksi jarak jauh berskala besar, serta pengekodan 5G, syarikat ini memastikan setiap projek dijalankan dengan cekap dan inovatif.

Pembukaan pejabat di Kuala Lumpur menandakan era baharu bagi Tell dalam penerokaan pasaran Asia Tenggara. Dengan kepimpinan yang berpengalaman serta teknologi yang terkini, Tell bersedia untuk membawa pengalaman penyiaran sukan ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Tell dan perkhidmatannya, layari www.tell.so.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat