KUALA LUMPUR – Sukar untuk Sabah menjadi seteguh seperti pasukan Kerajaan Negeri Sarawak apabila semua ketua parti masing-masing berebut untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.
Calon PKR DUN Melalap Datuk Jamawi Jaafar menegaskan, sekiranya semua ketua parti di Sabah bersatu hati memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor maka Sabah akan menjadi kuat seperti ketumbukan Sarawak.
“Ada orang pertikaikan kenapa Sarawak boleh? Sarawak tidak ada 40 peratus, dia hanya ada pemberian khas.
“Ada juga yang cakap kenapa Ketua Menteri Sarawak boleh minta itu, minta ini? Realitinya di Sarawak tidak ada ketua parti politik yang bercadang nak jadi Ketua Menteri semuanya menyokong penuh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerana itu memudahkan beliau untuk mendapatkan apa hak Sarawak.
“Tapi kita di Sabah semua bilang mau jadi macam Sarawak tapi dalam masa yang sama 10 ketua parti mau jadi ketua menteri,” selar Jamawi dalam podcast Jam Kesebelas.
Jadi kata Jamawi, apabila keadaan begitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih selesa berunding dengan Abang Jo.
“Bahkan dalam keadaan begitu, Abang Jo pun memahami saya ada Timbalan Perdana Menteri di sana yang membincangkan hal MA63, Perkara 18 Sarawak.
“Tapi kita di Sabah ini masalah, kita semua mau jadi ketua menteri tapi dalam masa yang sama cakap kita mau jadi macam Sarawak.
“Macam mana nak jadi macam Sarawak kau sendiri tak boleh bersatu hati bersama dengan pimpinan, kalau betul-betul mau jadi macam Sarawak duduklah semua pimpinan parti kena sokong Hajiji.
“Jadi Ketua Menteri yang kita bagi kekuatan sepenuhnya kepada beliau barulah boleh jadi macam Sarawak,” tegas Jamawi.



