KUALA LUMPUR – Calon PKR DUN Melalap Datuk Jamawi Jaafar yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Jamawi menyanggah dakwaan yang menjadi pertikaian hangat kononnya tiada langkah daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
“Sebenarnya Perdana Menteri sudah membincangkan pembahagian 40 peratus cukai Sabah namun belum ada kata putus (berkenaan jumlah berapa 40 peratus itu) walaupun perbincangan telah dibuat tetapi selagi mana belum ada kata putus maksudnya belum ada jumlah, maka beliau sediakan dulu interim. Mula dengan RM300 juta, RM600 juta tahun depan RM600 juta.
“Katakanlah jumlah hasil perbincangan Persekutuan kena bayar RM1 bilion setahun (katakan) tahun ini dibayar RM600 juta maksudnya ada baki lagi RM400 juta untuk dibayar.
“Saya yakinlah dengan kebijaksanaan beliau (Anwar) dan melihat tuntutan daripada kerajaan negeri sendiri beliau menyatakan rundingan sedang berjalan tetapi rakyat cakap bila mau runding? Tapi sekarang ini selepas mahkamah buat keputusan tidak ada langkah daripada pihak kerajaan untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah ini yang rakyat pertikaikan.
“Perlu diingat sekarang Kerajaan Negeri yang ada kerajaan caretaker bagaimana untuk Persekutuan berunding dengan kerajaan sementara?
“Itu makanya kita selesaikan proses pilihan raya, kita tunggu Kabinet Sabah dibentuk dan kita pilih satu kerajaan yang mesra bersama dengan pimpinan diperingkat Persekutuan supaya proses perbincangan ini akan berjalan secara tertib dan secara musyawarah dan memberikan kelebihan kepada rakyat Sabah,” nasihat Jamawi.
Beliau malah menempelak sikap segelintir pemimpin Sabah yang berapi-api melaungkan Sabah fo Sabahan, itu sebenarnya menyukarkan kata putus dicapai antara Persekutuan dan Sabah.
“Kalau kita setakat bercakap lawan, lawan Sabah for Sabahan so dalam mesyuarat kita tidak ada dalam kondusif, persekitaran amat baik untuk bincang bagaimana kita nak dapat kata putus yang baik,” bidas beliau dalam podcast Jam Kesebelas.
Mengulas lanjut, Jamawi menjelaskan bahawa ada kelebihan apabila bertanding di bawah tiket parti nasional walaupun dimomokkan dengan sejarah politik nasional sudah 50 tahun memerintah di Sabah.
“Kena ingat ya dulu bukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekarang, kalau kita lihat di bawah PMX perkara pertama yang beliau buat semasa memegang kuasa hujung 2022 adalah mengaktifkan semula Kementerian Hal Ehwal Sabah di bawah Datuk Armizan Mohd Ali di bawah itu kita sudah ada Perkara MA63.
“Saya yakin dan percaya beliau menghormati keputusan mahkamah tinggi yang minta supaya diadakan perbincangan lanjut walaupun mahkamah putuskan adakan perbincangan tapi sebenarnya perbincangan ini sudah dibuat awal namun yang sebelum ini tidak berapa serius.
“Untuk pengetahuan, perkara yang saya timbulkan sebelum saya menerima tawaran (jadi calon PKR) ini adakah kerajaan melalui Peguam Negara merayu atau tidak.
“PM akan adakan mesyuarat khas Kabinet mungkin beliau akan umumkan sesuatu untuk rakyat Sabah dan inilah yang ditunggu-tunggu sebenarnya.
“Walaupun dalam keadaan beliau cuba memberi penjelasan yang tepat berkenaan perkara ini tetapi kadangkala pemilihan perkataan itu menimbulkan salah tafsir contohnya -keperluan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sabah ini jumlahnya RM17 bilion dan kita faham juga kutipan cukai di Sabah ini lebih kurang RM10 bilion.
“Tetapi kita jangan lupa bahawa ada sebahagian cukai-cukai yang dikutip di Kuala Lumpur tapi hasilnya di Sabah. Contohnya syarikat-syarikat perladangan yang didaftarkan di KL tapi mempunyai ladang yang cukup luas, Felda cukup luas jadi kalau dicampur semua mungkin lebih daripada RM10 bilion jadi indikator yang mungkin PMX akan cuba huraikan,” jelas Jamawi.



