Ditolak UMNO, Khairy mungkin sertai PKR untuk buka laluan ke kabinet

KUALA LUMPUR, – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan sedang menimbangkan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas usaha membawa beliau kembali ke dalam UMNO dikatakan menemui jalan buntu.

Menurut sumber dalaman, langkah ini dikaitkan dengan rancangan pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa Khairy kembali ke dalam kabinet menerusi rombakan yang dijangka diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah nanti.

Spekulasi mengenai kemunculan semula Khairy ke kancah politik nasional mula diperkatakan sejak Mei lalu, apabila portal Suara.TV melaporkan wujud usaha membawa beliau kembali ke dalam UMNO sebelum dilantik menyertai kabinet. Namun, sumber UMNO mengesahkan proses itu tergendala kerana penolakan daripada kepimpinan tertinggi parti.

“Beberapa pemimpin kanan UMNO berpandangan Khairy perlu terlebih dahulu memohon maaf kepada Presiden parti atas serangan beliau ketika kempen PRU-15 sebelum sebarang perbincangan lanjut dapat dibuat,” kata sumber berkenaan.

Faktor lain yang disebut ialah kebimbangan bahawa kemasukan semula Khairy akan menggugat peluang pemimpin UMNO lain yang mengintai jawatan kabinet. Spekulasi turut menyebut Khairy disebut sebagai calon paling sesuai mengisi kekosongan kuota Menteri MITI sekiranya rombakan kabinet benar-benar berlaku.

Dalam masa yang sama, sumber dalaman PKR mendedahkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mempelawa Khairy serta rakan podcastnya, Shahril Hamdan, untuk menyertai parti tersebut.

“Khairy dikatakan semakin terbuka dengan jemputan itu selepas menyedari penolakan dalam UMNO masih kuat dan sukar dirungkai dalam masa terdekat,” kata sumber itu lagi.

Nurul Izzah dilihat berpendapat bahawa kemasukan Khairy dan Shahril boleh memberi nilai tambah kepada PKR yang kini giat memperkukuh barisan kepimpinannya selepas perpecahan dalaman yang berlaku dalam pemilihan parti sebelum ini.

Dalam konteks Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini, PKR turut menonjolkan wajah-wajah baharu berkaliber seperti Datuk Ruji Ubi, Datuk Jamawi Jaafar dan Hafez Yamani bagi memperkukuh imej parti sebagai wadah kepimpinan pelapis yang berwibawa.

Difahamkan juga, Khairy mungkin akan muncul berkempen di beberapa kawasan di Sabah bagi membantu calon-calon BN dan PKR, dilihat sebagai langkah awal menjalin kerjasama politik rentas parti.

Setakat ini, Khairy belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung spekulasi tersebut.

Semalam, beberapa media termasuk Suara.TV turut melaporkan spekulasi bahawa Khairy bakal dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dalam rombakan kabinet akan datang.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat