KUALA LUMPUR – Selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuduhan kononnya wujud kecurangan dalam pentadbiran beliau maka muncul satu video baharu sebagai respons balas kepada gesaan tersebut.
Hajiji yang sebelum itu meminta supaya pemberi rasuah turut disiasat berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri Sabah.
Hal ini katanya, sudah tentu pihak tersebut mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.
Susulan itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon mendakwa Ketua Menteri Sabah itu menyalahgunakan kuasa.
Ini ekoran pendedahan media sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang sebagai balasan untuk mendapatkan projek.
Memetik laporan Malaysiakini pada Selasa, dalam perkembangan terbaru dakwaan skandal rasuah, seorang pemberi maklumat (whistleblower) mengeluarkan video tambahan, di samping lapan video perbualan rasuah melibatkan lapan ahli politik.
Menurut pemberi maklumat itu, video tersebut dikeluarkan untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Saya mahu serahkan semua bukti kepada Tuanku. Saya tidak tahu bagaimana. Oleh itu, saya keluarkan video ini melalui media,” katanya.
Video itu menunjukkan bekas CEO Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Ketua Menteri Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa.
Menurut pemberi maklumat, video itu dirakam pada 1 Okt dengan persetujuan Enggihon.
Video bermula dengan bekas CEO itu, yang kontraknya tamat pada 31 Ogos tahun ini, mendakwa keputusan-keputusan berkaitan syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikan Hajiji, sangat dipengaruhi oleh politik.
“Banyak keputusan yang saya tidak setuju.
“Buat saya stress (tertekan), terpaksa ikut itu ini, kena suruh itu ini, demi politik,” keluhnya dalam rakaman berkenaan.
Merujuk kepada mesyuarat lembaga pengarah “terkini”, Enggihon mendakwa ada arahan untuk lima pemegang lesen penerokaan (PL) mencari kawasan lain meskipun hampir dua tahun usaha dijalankan dan jumlah wang yang besar dibelanjakan untuk dua kawasan.
“Jutaan dibelanjakan, pasukan sudah bikin. Pasukan teknikal sudah masuk hutan, mesin sudah beli, pejabat pun sudah ada. Stor pun sudah ada.
“Kereta-kereta pun dah beli. Beli semua. Ada pesan barang mesin berat dari China lagi, dalam perjalanan.
“(Kemudian) disuruh pindah, henti ekplorasi,” katanya.
Ketika ditanya apa yang mendorong keputusan tersebut, Enggihon mendakwa ia kerana surat bantahan daripada seorang kontraktor.
“Terdapat surat dari kontraktor SMLA (Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Lestari).
“Kebetulan, lima lokasi PL terletak di kawasan penanaman semula untuk pembalakan. Ia adalah konsesi pembalakan,” dakwanya.
Menjawab soalan lain, Enggihon juga mendedahkan nama “tauke balak” tersebut dan mendakwa bahawa hubungan politiknya diketahui umum.
Bekas CEO itu mendakwa bahawa tauke tersebut kemudian menulis surat kepada Hajiji, yang kemudian memaklumkannya untuk membawa isu itu ke mesyuarat lembaga pengarah (BOD).
Katanya, sebagai CEO, dia bukan sebahagian daripada lembaga tetapi hanya hadir bagi mempersembahkan surat itu untuk kelulusan BOD.
Susulan keputusan itu, katanya, dia menulis surat kepada lima pemegang lesen penerokaan untuk berpindah, walaupun merasa keputusan itu tidak wajar.
Selain dua syarikat yang membelanjakan jutaan ringgit sebelum diarahkan berpindah, Enggihon mendakwa terdapat juga anak syarikat GLC Sabah yang terjejas.
Enggihon mendakwa Hajiji boleh dituduh tidak adil kerana hanya menjaga kepentingan seorang kontraktor.
Namun, Enggihon menafikan apabila ditanya sama ada kontraktor itu cuba merasuahnya tetapi memohon dia mempermudah urusan.
Terdahulu Hajiji berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung rakaman video itu, namun mahu “pemberi rasuah” ditangkap terlebih dulu.
“Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman),” katanya.
Terdahulu portal itu melaporkan, pemberi maklumat yang mencuri perhatian dengan dakwaan skandal rasuah Sabah, merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyemak ‘bukti’ dimilikinya dan memutuskan sama ada dia patut diberikan perlindungan.
Dalam surat terbuka itu, ahli perniagaan itu buat kali pertama mengaku memberi rasuah kepada lapan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) itu.
“Patik dengan suci hati mengatakan dan bersumpah mengatakan patik tiada pilihan dalam keadaan tertekan dan terpaksa memberi rasuah kepada lapan orang YB tersebut, di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC tersebut telah mengesahkan kepada patik bahawa lesen-lesen hanya akan dikeluarkan sekiranya terdapat YB di belakangnya dan bagi syarikat yang tiada YB di belakangnya walaupun mendapat scoring yang paling tinggi tidak akan dipertimbangkan untuk memperoleh lesen tersebut,” katanya dalam surat itu.
Dia juga memaklumkan terdapat video bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Ketua Menteri Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa.
Katanya, video itu adalah bahan sampingan selain lapan rakaman lain berkaitan perbualan rasuah lapan lagi Adun.
“Patik bersumpah bahawa patik pada ketika itu terdesak dan tiada pilihan kerana patik telah mengeluarkan modal yang banyak bagi membuat persediaan menjalankan projek cari gali mineral tersebut dan telah berhutang dengan pelabur dan menemui jalan buntu apabila dimaklumkan tiada cara lain untuk mendapatkan lesen-lesen tersebut kecuali melalui rasuah kepada YB-YB ini,” katanya.
Dia juga memohon maaf kerana menyembunyikan identiti atas alasan keselamatan serta memaklumkan kepada media terlebih dahulu.
Katanya dia dengan suci hati telah cuba untuk membongkarkan kes ini melalui SPRM.
“Patik dengan rendah diri memohon maaf sekiranya surat patik mengganggu YAM Tuanku tetapi patik atas dasar darurat dan tiada pilihan selain daripada berhubung terus dengan YAM Tuanku memandangkan patik telah menerima ancaman bunuh yang mengugut patik akan dibunuh dalam masa 24 jam,” katanya.
Sabtu lalu, portal berkenaan mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang sebagai balasan untuk mendapatkan projek.
Pemberi maklumat itu cuba mendapatkan perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk membongkar perkara itu.