KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Yaakob tampil menyatakan rasional larangan penganjuran perlawanan bola sepak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Ismail Sabri dalam catatan di Facebooknya membahasakan dirinya sebagai ‘Pak Long’ merayu orang ramai untuk memikirkan keselamatan dan nyawa-nyawa pemain bola sepak.
Katanya, Pak Long teliti pelbagai komen yang diutarakan warganet berkenaan penganjuran bola sepak.
Tambahnya, Pak Long faham kemarahan beberapa penyokong bola sepak yang merasakan ketidakadilan kerana perlawanan bola sepak adalah dilarang sepanjang PKPB.
Hal demikian katanya, izinkan Pak Long menerangkan sedikit mengapa perlawanan bola sepak tidak boleh dilaksanakan agar tidak timbul salah faham berpanjangan mengenai perkara ini.
“Dalam perlawanan bola sepak, penjarakan sosial adalah mustahil malah berlaku pertembungan dan bersentuhan di atas padang lebih-lebih lagi dalam keadaan berpeluh.
“Semestinya perlawanan bola sepak melibatkan beberapa negeri dan akan melibatkan pergerakan rentas negeri.
“Di dalam bilik persalinan juga sukar di kawal SOP dan begitu juga sewaktu ke tempat perlawanan dengan bas. Pastinya persentuhan akan berlaku,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, banyak bahayanya kepada pemain bola sepak itu sendiri dan juga krew-krew yang terlibat dalam perlawanan bola sepak.
“Perlawanan bola sepak ini bukanlah dibatalkan terus tetapi ditangguhkan sehingga tamat PKPB.
“Bukan lah Pak Long hendak melarang sebarang aktiviti sukan. Tidak. Pak Long faham ramai rakyat Malaysia meminati sukan dan menjadikan sukan bola sepak sebagai pilihan tontonan utama. Pak Long sendiri pun penyokong Pahang FA dan #kekalsetia menyokong Chelsea FC,” ujar Ismail Sabri.
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, keputusan ini diambil bagi mengambil kira pelbagai aspek yang jelas untuk kebaikan bersama.
“Lagipun rakyat sudah dimaklumkan dalam PKPB, pertandingan berpasukan tidak dibenarkan. Sukan SUKMA juga dibatalkan secara sukarela.
“Fikirkan juga keselamatan dan nyawa pemain-pemain bola sepak kita,” katanya.