Rupa-rupanya keikhlasan politik boleh diukur dengan bilangan kerusi – Rafique

KUALA LUMPUR – Penyatuan ummah bukan sekadar soal siapa dapat kerusi dan berapa banyak kerusi yang diperoleh tetapi ia juga menuntut kejelasan prinsip, kesepakatan dasar dan kesediaan menghormati perbezaan antara parti.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, sekarang timbul pula cadangan supaya Pas menyerahkan satu pertiga kerusi di negeri-negeri yang ditadbirnya kepada Umno kerana katanya, untuk membuktikan keikhlasan penyatuan ummah.

“Menarik juga. Rupa-rupanya keikhlasan politik boleh diukur dengan bilangan kerusi.

“Kalau benar mahu kerjasama, mengapa formula satu pertiga perlu diumumkan sebelum rundingan dimuktamadkan?

“Adakah cadangan itu keputusan rasmi Umno? Atau sekadar pandangan beberapa pemimpin Umno?

“Umno Kedah sendiri minta supaya kenyataan sedemikian tidak mengganggu rundingan yang sedang berjalan. Ini timbulkan persoalan yang lebih besar. Siapakah sebenarnya yang tentukan hala tuju kerjasama tersebut? soal beliau.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas wajar memperuntukkan satu pertiga kerusi di empat negeri ditadbirnya kepada Umno, jika dua parti itu mahu meneruskan kerjasama dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, Pas tidak perlu bertanding semua kerusi di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis kerana penguasaan dua pertiga kerusi sudah memadai. Katanya, majoriti dua pertiga yang dicapai BN di Johor pada 2022 berjaya meningkatkan keyakinan pelabur.

Pada masa yang sama Rafique berkata, hubungan politik antara kepimpinan Umno Melaka dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan turut jadi perhatian.

“Pertemuan antara pemimpin politik bukanlah perkara yang salah. Tapi bila timbul pelbagai tafsiran mengenai arah kerjasama, penjelasan terbuka tentu lebih baik daripada spekulasi.

“Apakah yang dibincangkan? Adakah ia melibatkan urusan pentadbiran, kerjasama politik atau persiapan pilihan raya?

“Tidak wajar kita terus anggap setiap pertemuan mempunyai perjanjian tersembunyi. Namun, pemimpin juga perlu faham mengapa rakyat mahukan ketelusan.

“Begitu juga dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Sebarang persoalan mengenai hala tuju politik dan pentadbirannya perlu dijawab berdasarkan fakta, bukan tuduhan.

“Kerjasama Umno dengan PH, PN atau mana-mana parti lain mempunyai implikasi yang berbeza. Ahli parti dan rakyat berhak mengetahui dasar serta pertimbangan di sebalik setiap pilihan.

“Jika penyatuan ummah jadi matlamat yang diumumkan, apakah bentuk penyatuan yang dimaksudkan? Adakah ia kerjasama pilihan raya? Perkongsian pentadbiran? Atau persefahaman mengenai dasar tertentu?

“Soalan-soalan ini perlu dijawab terlebih dahulu sebelum jumlah kerusi dijadikan ukuran keikhlasan,” seru beliau.

Jelas Rafique lagi, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis juga mempunyai sejarah pilihan raya serta keadaan politik yang berbeza.

Oleh itu katanya, formula pembahagian kerusi yang sama tidak semestinya sesuai digunakan di semua negeri.

“Politik memang memerlukan rundingan. Tapi rundingan yang baik perlukan kejelasan, bukan sekadar tuntutan yang diumumkan kepada media.

“Kalau perjuangan jadi asas kerjasama, jelaskan prinsipnya. Kalau kerusi jadi asas rundingan, jelaskan pertimbangannya dan kalau kepentingan rakyat jadi keutamaan, jelaskan apakah manfaat dasar yang akan mereka terima.

“Kerana akhirnya, rakyat bukan sekadar mahu tahu siapa dapat satu pertiga kerusi. Mereka juga mahu tahu apa yang akan dilakukan oleh mereka yang dapat kerusi itu,” katanya.

Pun begitu kata Rafique, jika rundingan penyatuan gagal capai persetujuan, Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai pilihan untuk bertanding secara bersendirian.

“Namun, keputusan itu perlu dinilai berdasarkan prinsip perjuangan, kepentingan rakyat dan kesannya terhadap masa depan negara, bukan semata-mata pertikaian pembahagian kerusi atau dakwaan mengenai kepentingan peribadi pemimpin.

“⁠Ahli Umno perlu buktikan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air masih jadi keutamaan.

“Ahli Umno boleh tunjukkan protes pada pemimpin yang guna Umno demi kepentingan peribadi atau cuba selamatkan diri dari didakwa.

“Penyatuan yang bermakna memerlukan prinsip yang jelas. Pembahagian kerusi sahaja belum membuktikan keikhlasan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat