PKPB: Kerajaan Sabah Salur Bantuan 5,134 Bakul Makanan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah mengagihkan bantuan 5,134 bakul makanan kepada penduduk terkesan di empat daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Jumaat lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata daripada jumlah itu, 2,431 bakul makanan diagihkan kepada penduduk terjejas di Semporna, Lahad Datu (1,150), Tawau (1,000) dan Kunak (553).
ADVERTISING

“Manakala bagi Daerah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tuaran dan Papar, peruntukan telah disalurkan semalam. Pengagihan bakul makanan dijangka dimulakan hari ini (12 Okt).

“Kerajaan negeri juga menerima bantuan bakul makanan pada 10 Okt daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah 6,300 untuk Daerah Kunak (1,000), Semporna (1,000), Lahad Datu (1,500), Sandakan (1,500), Tawau (1,000) dan Kota Kinabalu (300),” katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Masidi, yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata keutamaan agihan bantuan itu adalah untuk dua kategori iaitu penduduk terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diperketatkan (PKPBD) dan keluarga yang tidak boleh keluar rumah atas arahan perintah kuarantin rumah.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran perkhidmatan perlu di daerah dikenakan PKPB kerajaan negeri memberi kebenaran beroperasi kepada 21 bengkel kenderaan, 17 bengkel motosikal, 25 kedai perkakasan logam dan 23 kedai peralatan elektrik.

Katanya kerajaan negeri juga telah memberi kelulusan kepada 22 firma guaman beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang dengan kapasiti 50 peratus tenaga kerja bagi membantu kelancaran perkhidmatan perlu bidang perbankan dan kewangan.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) bersetuju membenarkan firma guaman yang mempunyai kakitangan 10 orang ke atas beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang dengan kapasiti 50 peratus tanpa perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.

“Manakala bagi firma guaman yang mempunyai kakitangan tidak melebihi lima orang, dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus,” katanya.

Masidi turut mengingatkan semua penduduk negeri itu sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Masidi ketika dihubungi Bernama berkata beliau dilantik sebagai jurucakap sementara kerajaan negeri untuk COVID-19 oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau akan menjalankan tugas itu sehingga Hajiji yang kini mendapat rawatan bagi COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth kembali sihat.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat