Salhah Salleh dilantik sebagai SUK Melaka ke-31

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Pegawai Kewangan Negeri di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka berkuat kuasa mulai 11 Ogos 2026, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pelantikan Salhah sebagai SUK Melaka ke-31 merupakan wanita pertama ke jawatan itu,
bagi menggantikan Datuk Wira Hj. Azhar Arshad yang bersara wajib mulai 10 Ogos 2026, selepas 36 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.

Salhah, 53, merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik lantikan tahun 1998, berkelulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), kata Shamsul Azri.

“Salhah mempunyai pengalaman luas selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam khususnya di bidang pengurusan sosial dan infrastruktur, ekonomi dan kewangan serta pengurusan sumber manusia dan pembangunan operasi.

“Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Jabatan Ketua Menteri Melaka, termasuk bertugas di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kini Kementerian Kemajuan, Desa dan Wilayah (KKDW), ”katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan ini.

“Berbekalkan kepimpinan, keupayaan strategik serta pengalaman luas dan saya yakin agenda pembangunan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka serta kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan akan terus diperhebat demi memastikan setiap dasar dan inisiatif membawa keberhasilan langsung kepada rakyat, berteraskan aspirasi Malaysia MADANI, ”katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata Kerajaan Negeri dan seluruh warga pentadbiran negeri, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, khidmat bakti serta sumbangan yang telah dicurahkan oleh Datuk Wira Azhar sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Sepanjang menerajui pentadbiran negeri, kepimpinan, pengalaman serta komitmen beliau telah banyak membantu memperkukuhkan sistem penyampaian kerajaan, memperkasakan tadbir urus dan menyokong usaha pembangunan Melaka, ”katanya menerusi laman media sosial.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Wira Salhah Salleh. Satu pencapaian bersejarah apabila beliau menjadi wanita pertama menerajui jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

“Semoga pelantikan ini terus membawa kecemerlangan dalam pentadbiran serta menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Melaka, ”katanya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat