Pasport Malaysia sah laku melebihi 10 tahun dihentikan serta-merta – Imigresen

KUALA LUMPUR – Tempoh sah laku Pasport Malaysia Antarabangsa diseragamkan kepada maksimum 10 tahun serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan ketika rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban berkata keputusan itu diambil susulan beberapa orang rakyat Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tyahun menghadapi masalah ketika melakukan daftar masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum isu tular berhubung kesulitan perjalanan yang dialami pemegang PMA terbabit.

“JIM telah merujuk perkara ini kepada pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kekeliruan timbul apabila ada pemegang pasport melebihi 10 tahun kerana mereka memperbaharui pasport ketika pasport berkenaan masih berbaki kira-kira 6 bulan menyebabkan tempoh sah laku pasport berkenaan melebihi 10 tahun.

“Bagi menangani kekeliruan berkenaan, JIM menetapkan tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah 10 tahun sahaja,” katanya.

Zakaria berkata berkuatkuasa serta-merta tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu ini diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan.

Bagi mereka yang memegang pasport dengan tempoh sah laku lebih 10 tahun, mereka akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

Beliau berkata, pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.

“Jabatan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara,” katanya.

Tambahnya, JIM komited memastikan pelaksanaan sistem pasport Malaysia sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat